Carian
Tahukan Anda Manusia Nikmati Makanan Menerusi Mata Dahulu – Kemudian Hidung Dan Lidah?
October 20, 2022 Lina Rosli

Tidak dinafikan, keenakan dan kelazatan makanan hanya boleh diketahui selepas anda menikmati makanan. Akan tetapi, sebelum menikmatinya dengan lidah, mata akan memberi gambaran dahulu sama ada makanan dihadapannya adalah sedap atau sebaliknya.

Inilah perkara yang berlaku sewaktu anda menonton rancangan masakan di televisyen, atau mana-mana platform penstriman dan juga majalah, anda melihat makanan yang dihidangkan kelihatan lazat dan menyelerakan dan sekaligus membuatkan anda berasa teringin untuk menikmatinya.

Tetapi pernahkah anda terfikir mengapa mata memainkan peranan penting sewaktu anda mula menikmati hidangan?

Mata Yang Memimpin, Lidah Yang Mengikuti

Untuk pengetahuan anda, setiap individu akan menggunakan semua deria di tubuh untuk mengenalpasti, menganalisa dan memberi respons kepada makanan yang diterima.

Sebagai contoh, mata, telinga dan hidung akan digunakan sewaktu pra-nikmati makanan. Manakala semasa makan pula, anggota yang berkerja adalah lidah yang akan menggunakan sensasi sentuhan untuk bertindak balas kepada tekstur apa yang kita makan. Kemudian, selera pula akan memberitahu otak betapa lazatnya hidangan itu dan merupakan kemuncak semua deria kita digabungkan.

Namun, apabila tiba di meja makan, mata adalah organ yang pertama melihat kehadiran makanan. Dan melalui mata, individu akan mengetahui tekstur makanan, warna yang digunakan, bentuk, isipadu dan juga konsistensi pada hidangan yang berbeza.

Dan barulah selepas itu, hidung akan menghidu aroma dan akan memutuskan sama ada individu patut merasainya ataupun tidak. Ini kerana, jika yang dilihatnya kelihatan menarik dan menyelerakan, mata akan memberi signal kepada minda dan memberitahu diri sendiri, “Itu kelihatan menarik” atau dalam erti kata lain, “Mesti rasanya sedap”

Jadinya, bagi anda yang baru mula berkecimpung dalam dunia masakan, mulakan dengan membuat makanan kelihatan menarik.

Sama seperti anda masuk ke restoran dan melihat gambar pada menu yang lazat dan menyelerakan, lauk yang dihidangkan di rumah juga perlu dipersembahkan dalam cara yang dapat meningkatkan selera makan. Jangan lupa, tambah juga warna-warna di dalam pinggan hidangan seperti sayur-sayuran oren, kuning dan hijau yang sihat.

Sumber: West Eye Clinic

Komen