Bilakah kali terakhir anda memeriksa keadaan kereta? Adakah kapasiti bateri kereta masih lagi dalam keadaan yang baik ataupun ia sudah mula mengeluarkan isyarat yang mana janaan kuasanya semakin berkurang?
Jika ya, maka tiba masanya untuk anda hantar kereta ke pusat servis untuk diselenggara. Bagi yang tidak mengetahui akan waktu sama ada bateri anda perlu ditukar atau sebaliknya, ia bergantung kepada usia bateri, cuaca serta kekerapan anda memandu.
Secara umumnya, bateri kereta anda perlu ditukar sekurang-kurangnya setiap dua tahun dan voltannya perlu diperiksa dari semasa ke semasa untuk memastikan prestasi optimum. Ini kerana, jika bateri anda berada dalam keadaan yang kurang baik, ia akan memberi kesan kepada prestasi kereta anda.
Pernahkan anda berada dalam situasi yang mana kereta tiba-tiba sahaja tidak boleh dihidupkan disebabkan kapasiti bateri yang lemah? Sekiranya berlaku sedemikian, apa yang perlu anda lakukan adalah menghidupkan semula kereta dengan cara melakukan ‘jump-start’ ke atas kereta anda.
Bagaimana Cara Untuk ‘Jump-Start’ Kereta Dengan Betul?
Semasa jump-start atau menghidupkan semula bateri, anda dinasihatkan untuk mengamalkan langkah keselamatan yang betul.
Kebanyakan model kereta yang dijual di pasaran hari ini menggunakan pelbagai komponen elektronik dalam sistem dalaman kereta. Sebarang kesilapan boleh menyebabkan litar pintas pada komponen kereta penting seperti unit kawalan penghantaran (TCU) yang boleh membahayakan kereta.
Oleh itu, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian sewaktu ingin menghidupkan semula bateri kereta. terutamanya jika anda melakukan ini buat kali pertama:
- Rujuk manual pengguna kereta. Pastikan kereta yang digunakan boleh dilaksanakan jump-start kerana terdapat sesetengah model kereta yang tidak disyorkan disebabkan ia mempunyai litar sensitif.
- Pastikan anda tidak melakukan jump-start pada bateri kereta yang berkarat, retak, rosak dan bocor.
- Tidak melakukan jump-start pada bateri kering.
- Pastikan voltan kereta ‘penderma’ adalah sama atau lebih besar daripada anda. Bukan itu sahaja, anda juga perlu mengetahui sama ada bateri kereta ‘penderma’ berada dalam keadaan baik.
- Sambungkan klip buaya di tempat yang betul mengikut urutan yang betul dan elakkan daripada sentuh badan kereta atau klip buaya semasa proses jump-start.
Selain daripada memeriksa akan keadaan kedua-dua kereta penderma dan penerima sewaktu jump-start, keselamatan persekitaran juga perlu dititikberatkan.
Apa yang perlu anda lakukan adalah:
- Letak kenderaan anda di kawasan yang selamat. Setelah itu, mastikan enjin kereta dan periksa keadaan peralatan dan sistem elektrik kedua-dua kereta seperti lampu depan, radio dan sebagainya agar semua telah dimatikan.
- Buka hud hadapan kereta dan sambungkan klip kabel pelompat dengan berhati-hati.
- Mulakan dengan menyambungkan terminal positif kabel pelompat kereta ke terminal positif bateri kereta penderma. Terminal positif biasanya mempunyai penutup plastik merah dengan simbol tambah (+).
- Selepas itu, sambungkan hujung kabel pelompat yang satu lagi ke terminal positif bateri kereta penerima.
- Kemudian, sambung pula klip kabel pelompat hitam ke terminal negatif bateri kereta penderma dan kemudian pasangkan hujung kabel ke objek logam kereta yang tidak dicat seperti rod logam bonet hadapan.
Apabila selesai memasang kabel-kabel yang diperlukan, barulah anda mula hidupkan enjin kereta penderma. Tunggu beberapa minit sebelum hidupkan enjin kereta penerima.
Jika ia masih tidak dapat dimulakan selepas beberapa percubaan, bateri mungkin bukan masalahnya. Apabila ini berlaku, sebaiknya minta mekanik untuk melihat enjin anda kerana masalahnya mungkin disebabkan oleh alternator yang rosak, Unit Kawalan Elektronik (ECU), pemula atau palam pencucuh.
Tetapi sekiranya kereta penerima berjaya dihidupkan, biarkan enjin kedua-dua kereta berjalan selama. 5 hingga 10 minit sebelum anda mula mencabut kabel pelompat.
Harus diingatkan, walaupun kereta anda boleh dihidupkan semula selepas jump-start, bateri tetap memainkan peranan penting dalam kelancaran kereta. Jadinya, anda masih perlu bawa ke kedai bateri atau pusat servis kereta berdekatan untuk memastikan keadaan bateri kereta untuk penggunaan pada tempoh yang mendatang.