Sehingga kini, masuk sahaja ke bahagian restoran dan bistro IKEA, anda akan melihat kerusi-kerusi dan meja-meja di ruangan makan mereka sering penuh dengan individu yang sedang menikmati sajian makanan yang ditawarkan. Dan antara menu yang paling laris dan popular adalah bebola daging IKEA kegemaran ramai.

Tahukah anda, IKEA merupakan salah satu rangkaian restoran terbesar di dunia, dan sejak ia pertama kali ditubuhkan IKEA tidak hanya memfokuskan kepada tawaran hidangan seperti pastri, biskut dan kopi, jenama ini dilihat telah memperluaskan penawaran yang mana mereka kini turut mempunyai Bistro dan Pasar Makanan Sweden, di mana pelanggan boleh membeli bebola daging beku, minuman lingonberi, herring, roti halia nipis dan semua jenis makanan lain untuk dibawa pulang.

IKEA Food ialah salah satu syarikat runcit terbesar di dunia, dengan lebih daripada 700 juta pelanggan setiap tahun. Dan di Sweden sahaja, IKEA Food telah menjual 35 juta bebola daging setahun. Di tambah lagi dengan penawaran produk alternatif kepada bebola daging biasa iaitu sajian berasaskan tumbuhan telah dihasilkan, jualan menu di restoran IKEA pada tahun 2020 menyaksikan peningkatan yang mendadak.

Dan tahukah anda, idea wujudnya kehadiran restoran ini adalah disebabkan oleh pengasas IKEA bimbang mereka akan kehilangan pelanggan yang kelaparan semasa proses pembelian dan pencarian perabot di sekitar kedai IKEA?

Sebelum Kehadiran Bebola Daging IKEA Di Dalam Menu

Apabila Ingvar Kamprad iaitu pengasas jenama IKEA membuka pintu bilik pameran perabot pertamanya di Älmhult pada tahun 1953, beliau sudahpun mula merancang untuk menawarkan kepada pengunjung di IKEA akan hidangan kopi dan biskut. Dan selepas pengenalan itu, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan yang mana mereka melihat pembeli berbaris dan beratur panjang untuk mendapatkan biskut.

Selari dengan objektif yang ingin dicapai oleh IKEA yang mana mereka ingin memastikan setiap orang yang melangkah keluar daripada gedung mereka tidak berasa lapar dan dahaga, maka mereka perlu hadir dengan hidangan yang mudah dan mengenyangkan. Dan mereka melihat bebola daging memenuhi kriteria yang diperlukan.

Untuk pengetahuan anda, sehingga hari ini, IKEA telah menjual lebih daripada satu bilion tanda dagangan bebola daging Swedennya di setiap restoran di gedung mereka setiap tahun. Kini juga, bebola daging telah menjadi simbol imej jenama Scandinavia yang sinonim dengan IKEA dan menjadi pusat kepada strategi peruncit untuk memastikan pelanggan menyemak imbas di dalam restoran mereka selama berjam-jam sebelum meneruskan pembelian perabot atau sofa baharu selepas mereka selesai makan.

Bilakah Bebola Daging Mula Hadir Di Dalam Menu IKEA?

Tahun debut bebola daging IKEA adalah pada tahun 1985 iaitu 40 tahun selepas selepas penubuhan gedung mereka.

Sepanjang proses pengenalan, pelbagai idea telah hadir sebelum bebola daging tersebut disajikan kepada umum. Berdasarkan perkongsian IKEA, chef mereka yang dikenali sebagai Hullberg pada awalnya ingin hadir dengan bebola daging yang diperbuat daripada 2/3 daging lembu dan 1/3 lagi menggunakan daging khinzir.

Namun Ingvar Kamprad pula berpendapat sebaliknya, yang mana bebola tersebut perlulah diperbuat sepenuhnya daripada daging khinzir atas faktor kos yang lebih efektif dan jaminan stok yang lebih konsisten.

Tetapi selepas berbincang, produk yang diperbuat daripada daging lembu sepenuhnya lebih mudah untuk dipasarkan secara global. Selain itu, IKEA turut menampilkan makanan ruji Sweden yang lain seperti salmon dan daging lembu panggang, serta makanan diet seperti salad dan sandwic di dalam menu baharu mereka bagi memastikan keperluan setiap kumpulan individu dapat dipenuhi di restoran mereka.

Sumber: IKEA, 7news