Carian
Adakah Menguap Boleh Berjangkit Pada Orang Di Sekeliling?
September 12, 2022 Lina Rosli

Selain haiwan, manusia juga sering menguap. Namun, apakah faktor yang menyebabkan berlakunya perkara ini?

Sebelum itu, mari kita faham apa itu menguap? Menguap adalah proses membuka mulut dan menarik nafas sedalamnya sekaligus mengisi paru-paru dengan udara. Ini adalah tindak balas yang sering dialami jika anda berasa penat atau selepas melakukan aktiviti yang panjang. Rata-rata perilaku menguap biasanya dipicu oleh rasa mengantuk atau keletihan.

Mengapa Menguap Boleh Berlaku?

Terdapat sebilangan teori mengenai faktor berlakunya menguap. Namun, kajian mengenai topik ini adalah sangat sedikit. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa sebab yang dipersetujui telah menyebabkan individu menguap.

Menurut para penyelidik, kebiasaannya perasaan ingin menguap didorong oleh beberapa keadaan tubuh. Sebagai contoh, tubuh kita kurang mengambil oksigen disebabkan oleh pernafasan yang perlahan. Oleh itu, menguap membantu kita membawa lebih banyak oksigen ke dalam darah dan mengeluarkan lebih banyak karbon dioksida dari darah.

Secara umumnya, teori ini dilihat logik, namun setakat ini masih tiada bukti yang menyokong kepadanya. Hal ini kerana apabila mereka melakukan penyelidikan dengan menempatkan inidividu di persekitaran rendah oksigen atau karbon-dioksida tinggi, tiada reaksi menguap yang jelas ditunjukkan.

Ada juga kajian menunjukkan, suhu otak yang tinggi boleh menyebabkan seseorang individu menguap. Oleh itu, menguap dilihat bertindak sebagai mekanisma radiator yang menyejukkan darah yang mempunyai suhu tinggi di otak.

Terdapa dua kajian yang menyokong teori ini. Salah satunya adalah kajian yang dilakukan pada tahun 2013 yang mana ia diterbitkan dalam International Journal of Applied and Basic Medical Research menunjukkan bahawa menguap dapat membantu menyejukkan suhu otak.

Seterusnya, pada tahun 2014 pula, menerusi sumber yang diterbitkan dalam jurnal Physiology & Behavior mendapati bahawa menguap dikenalpasti tidak berlaku kerap ketika musim sejuk. Sekiranya suhu otak terlalu jauh dari norma, menghirup udara dapat membantu menyejukkannya.

Selain reaksi semula jadi badan, terdapat juga kes yang mana individu akan menguap ketika berada di kawasan yang tinggi seperti di dalam pesawat ataupun ketika memandu di lebuhraya yang dikelilingi bukit tinggi. Pada waktu ingin, individu akan menguap secara sengaja untuk mencuba menyamakan tekanan di telinga. 

Benarkah menguap adalah tanda mengantuk? Jawapannya, tidak. Menguap sinonimnya dikaitkan dengan perasaan mengantuk dan kebosanan. Namun, ia sebenarnya refleks yang mendorong otak anda untuk kekal bangun dan membuat anda lebih waspada.

Apakah Kesan Menguap Pada Seseorang?

Menguap berlebihan adalah menguap yang berlaku lebih dari sekali pada satu-satu waktu. Perkara ini sering terjadi apabila individu berasa mengantuk atau bosan.

Namun, tahukah anda sekiranya individu menguap terlalu kerap, ia sebenarnya boleh menyebabkan reaksi vasovagal yang mana ia melibatkan peningkatan aktiviti di saraf vagus. Saraf ini berjalan dari otak ke tekak dan ke perut.

Apabila saraf vagus menjadi lebih aktif, degupan jantung dan tekanan darah menurun dengan ketara. Reaksi dapat menunjukkan apa-apa dari gangguan tidur hingga keadaan jantung yang serius.

Adakah Menguap Boleh Berjangkit Ke Orang Sekeliling?

Pernahkah anda terdengar yang mana menguap adalah satu penyakit berjangkit? Jika anda perasan, apabila seseorang dilihat menguap di dalam kelas, anda mungkin akan melihat beberapa orang lain juga akan mula menguap. Kadangkala, apabila anda fikir tentang menguap, ia juga boleh membuat anda menguap.

Perkara ini lebih dikenali sebagai echophenomena iaitu satu tiruan perkataan atau perbuatan orang lain secara automatik. Dan bukan hanya manusia yang cenderung untuk menguap – kucing dan anjing juga turut melakukannya.

Echophenomena juga dapat dilihat dalam pelbagai keadaan klinikal yang berkaitan dengan peningkatan rangsangan kortikal atau penurunan perencatan fisiologi seperti epilespsi, demensia, autisme dan sindrom Tourette.

Aktiviti Untuk Meredakan Rasa Menguap

Pernahkah anda mendapati, tubuh anda cenderung untuk menguap dengan terlalu kerap? Jika ya, anda mungkin boleh melakukan teknik pernafasan dengan baik. Caranya, cuba bernafas dalam-dalam melalui hidung kerana tubuh anda mungkin memerlukan lebih banyak oksigen. Anda juga boleh:

  • Bersenam
  • Elak dan hadkan pengambilan kafein
  • Buat jadual tidur
  • Kemas dan sediakan persekitaran tidur yang bersih dan selesa

Selain itu, anda juga boleh melakukan aktiviti regangan tubuh yang ringan seperti berjalan-jalan di luar tempat anda berkerja atau pergi ke ruang dengan suhu yang lebih sejuk. Sekiranya anda tidak mempunyai masa untuk melakukan ini, minum air sejuk atau makan makanan ringan yang sejuk seperti buah bagi membantu membuatkan anda lebih celik dan segar.

Sumber: KidsHealth, ScienceDailymuschealth

Komen