Apabila kita memikirkan pengaruh geografi dalam dunia fesyen, 3 bandar terlintas di fikiran ramai individu adalah London, New York, Milan dan Paris. Mana tidaknya, segala sesuatu dalam fesyen bermula di bandar-bandar besar ini.

Tetapi hakikatnya, dunia fesyen kini sudah berkembang dengan pesat dan semakin mendapat perhatian umum. Banyak syarikat fesyen sejak kebelakangan ini telah muncul dari pelbagai lokasi berbeza yang mana ia dilihat tidak terhad dari 4 bandar utama ini sahaja.

Dengan kehadiran ibu kota fesyen yang baharu muncul, ia sedikit sebanyak telah mencabar ibu kota fesyen tradisional (London, New York, Milan dan Paris) dan mereka semua sedang berusaha keras untuk berada di puncak dunia fesyen.

Secara umumnya, gelaran ibu kota fesyen ini mula wujud apabila sesebuah ibu kota itu mempunyai pengaruh yang besar dalam dunia fesyen seperti sekurang-kurangnya mempunyai jenama fesyen terbesar yang terletak di dalam premisnya atau nama besar dalam fesyen.

Dan rata-rata ibu kota fesyen juga akan mengadakan acara global yang dihadiri oleh orang kuat di dalam industri fesyen dalam mempamerkan ciptaannya. Jika dilihat media sosial dan berita-berita dunia, antara acara fesyen utama yang menghimpunkan jenama-jenama fesyen terkemuka di atas satu pentas adalah Paris Fashion Week, Milan Fashion Week, London Fashion Week dan banyak lagi.

Ibu kota fesyen ini juga akan menjadi inspirasi untuk semua pereka fesyen baru dengan idea yang unik dan kreatif. Selain itu, ibu kota fesyen ini turut mempunyai penduduk yang berkembang maju dan berminat dengan fesyen dan mengalu-alukan trend terbaru dengan tangan terbuka.

Oleh itu, selain daripada 4 bandar utama (Big 4) yang telah dinyatakan, Tajria akan berkongsi 3 lagi ibu kota fesyen baharu yang semakin menempa nama di peringkat global.

Tokyo

Menjadi bandar utama di negara Jepun, Tokyo adalah rumah kepada berpuluh-puluh juta individu yang terbuka dengan pengenalan fesyen baharu dan salah satu perkara yang terkenal di wilayah ini ialah adegan fesyennya yang unik.

Tokyo membawakan dua minggu fesyen berbeza yang juga dirujuk sebagai Minggu Fesyen Jepun dan Minggu Fesyen Mercedes Benz Tokyo. Antara gaya ikonik yang dipersembahkan oleh ibu kota ini adalah budaya fesyen belia yang bertenaga dan gaya jalanan yang sedang sohor kini telah mempengaruhi dunia fesyen global.

Sementara beberapa nama besar yang muncul dari ibu kota Tokyo termasuklah Issey Miyake, Hanae Mori, Kenzo Takada dan Hiroko.

Seoul

Bermula dari K-pop, K- beauty sehingga ke K-food dan K-drama, Korea Selatan sentiasa berada di bawah perhatian global. Fesyen Korea ditandai dengan gaya unik dan kontemporari dalam pakaian jalanan dan pakaian bandar.

Minggu fesyen Seoul telah menaikkan repurati wilayah ini sebagai ibu kota fesyen terkemuka di Asia Timur. Bermula pada tahun 1987, minggu fesyen Seoul yang mempamerkan gabungan pakaian jalanan yang berkilauan dan fesyen tinggi telah menarik pembeli, editor, jurugambar dan pempengaruh di seluruh dunia.

Minggu fesyen yang dilaksanakan terdiri daripada tiga bahagian: The Seoul Collection, acara fesyen mewah, Generation Next meraikan pereka akan datang, dan The Seoul Fashion Fair yang mempamerkan syarikat fesyen Korea.

Toronto

Salah satu ibu kota fesyen yang sedang berkembang ialah Toronto. Mereka kini sedang pesat dalam memperkenalkan jenama dan peruncit di persada antarabangsa sekaligus menjadikan industri fesyennya bertaraf dunia, bertenaga dan berbilang budaya.

Antara peruncit yang terkenal dari Toronto adalah seperti Nordstrom dan Saks yang memberikan perkhidmatan pelanggan yang efisien dan cemerlang. Toronto juga merupakan rumah kepada beberapa jurugambar dan model yang paling berjaya.

Sebagai tambahan, India juga kini telah dilabel sebagai pasaran yang besar dalam fesyen. Dengan ada penduduk yang ramai dan mempunyai gaya dan identiti tersendiri dalam fesyen, Mumbai telah dijadikan sebagai hab syarikat pembuatan tekstil yang berpengaruh dalam dunia fesyen global.

Bagi yang tidak mengetahui, fesyen India terkenal dengan pakaian bersulam rumit yang diperbuat daripada fabrik mewah dalam percikan pelbagai warna. Hasil ciptaannya pula akan diperagakan sewaktu Minggu Fesyen India Lakmé dan minggu Fesyen Amazon India yang diadakan di Mumbai.