Apabila bercerita sahaja tentang telefon boleh-lipat, perkara pertama yang terlintas di fikiran penulis adalah siri Galaxy Zflip oleh Samsung. Mana tidaknya, tawaran yang dihadirkan pada peranti ini cukup sifat untuk segalanya, bermula dari rekaan, kamera, pengalaman penggunaan sehingga ke sistem operasinya.

Oleh itu, untuk menyelami pengalaman penggunaan secara menyeluruh serta mengetahui sama ada mampukah Samsung Galaxy Z Flip4 memenuhi keperluan penulis sepanjang beberapa minggu ini, di bawah adalah beberapa nilai estetika dan dinamika yang diketengahkan oleh Tajria menerusi ulasan peranti ini.

Estetika – Kemasan Matte Pada Panel Belakang Bersama Engsel Yang Ditambahbaik

Perbezaan utama antara Samsung Galaxy Z Flip3 dan Z Flip4 adalah apabila penulis menyentuh panel belakang peranti. Tidak sama dengan kemasan yang digunakan sebelum ini iaitu panel kaca yang licin dan berkilat, Samsung Galaxy Z Flip4 hadir dengan penawaran kemasan matte yang mana sebelum ini Samsung telah menggunakannya pada siri Galaxy A mereka.

Perubahan ini tidaklah memberikan impak yang sangat besar kepada peranti, namun ia adalah satu penambahbaikan yang memberikan satu kepuasan kepada penulis.

Hal ini kerana, berdasarkan pengalaman, penjagaan Samsung Galaxy Z Flip4 kini boleh dikatakan lebih mudah dan tidak cerewet berbanding yang sebelumnya kerana pengguna tidak perlu kerap membersihkan kesan cap jari pada panel selain ia mengurangkan risiko mudah calar sekiranya digunakan secara lasak.

Selain itu, perubahan kecil lain yang dilakukan pada reka bentuk Samsung Galaxy Zflip4 juga adalah saiz panel permukaan yang lebih besar yang menjadikan bingkai/bezel luar peranti lebih nipis dan tidak terlalu jelas kelihatan jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy Z Flip3.

Sementara untuk skrin luar, tidak menampilkan apa-apa penambahan baharu tetapi jika dilihat secara kasar, Samsung Galaxy Z Flip4 kelihatan seperti mempunyai saiz skrin yang lebih besar dan lebar yang mana ia mungkin disebabkan faktor rekaan peranti yang lebih rata berbanding sebelumnya.

Mengenai engsel Samsung Galaxy Z Flip4 pula, berdasarkan pengalaman penulis, ia boleh dikatakan mempunyai perubahan yang agak ketara. Untuk makluman anda, Samsung nampaknya membawakan sedikit perubahan pada bahagian engsel yang mana ia hadir dengan engsel yang lebih nipis. Ini sekaligus membuatkan prestasi buka dan tutup atau dikenali sebagai proses lipatan peranti terasa lebih kukuh dan tidak terlalu ringan seperti yang dialami oleh pengguna Samsung Galaxy Z Flip3.

Walau bagaimanapun, jika ditanya adakah engsel yang digunakan kali ini mengurangkan risiko penangkapan habuk pada skrin? Jawapan penulis adalah tidak, kerana rongga sewaktu lipatan masih lagi mempunyai jarak yang cukup membuatkan skrin dalaman berhabuk sewaktu disimpan atau diletakkan di dalam beg atau di atas meja.

Dinamika – Penyimpan Memori Serba Baharu

Menyentuh mengenai kamera, Samsung Galaxy Z Flip4 boleh digambarkan sebagai penyimpan memori masa kini. Peranti ini hadir dengan dua kamera utama 12MP yang disusun secara menegak bersama-sama dengan kamera swafoto yang dilengkapi lensa 10MP.

Untuk pengalaman rakaman gambar secara keseluruhan, tidak banyak perubahan yang dilihat. Namun, perkara utama yang paling penulis gemari pada peranti boleh-lipat ini adalah skrin luar yang digunakan sebagai cermin untuk memudahkan proses OOTD menerusi lensa utama Samsung Galaxy Z Flip4.

Disebabkan kamera utama peranti ini mempunyai sensor yang lebih besar berbanding kamera swafoto di bahagian dalam, penulis lebih banyak menggunakan kamera luar untuk rakaman swafoto harian. Salah satu sebabnya adalah disebabkan oleh hasil gambar yang lebih terang dan jelas lebih-lebih lagi sewaktu rakaman di persekitaran yang banyak pengcahayaan.

Berikut adalah beberapa hasil rakaman swafoto menggunakan kamera utama. Secara umumnya, untuk kedua-dua gambar, ia menampilkan warna kulit yang tidak terlalu merah selain turut menghasilkan gambar dengan hasil kontras yang tinggi juga lebih HDR.

Berbeza pula untuk rakaman waktu malam, terdapat kesukaran untuk mendapatkan hasil gambar yang tidak menukar warna kulit. Jika anda lihat pada sebelah kiri adalah hasil gambar yang menggunakan kamera swafoto. Warna kulit kelihatan sedikit pucat dan penghasilan warna juga tidak begitu kemas. Manakala untuk rakaman OOTD malam pula, tona kulit kelihatan sedikit kemerah-merahan yang mana ia mungkin disebabkan oleh kekurangan pencahayaan di sekeliling objek.

Namun, penulis sangat berpuas hati dengan rakaman bagi objek bukan manusia yang dirakam oleh peranti Samsung Galaxy Z Flip4 ini yang mana warna dan kejituan bagi setiap gambar adalah sangat berkualiti dan kemas.

Selain itu, di bawah adalah sampel gambar yang menggunakan zum digital sehingga 10x. Ia menampilkan hasil gambar yang sangat menyerlah untuk setiap warna dan ciri yang dipaparkan. Namun, berdasarkan pengalaman penggunaan Tajria, rakaman zum yang paling maksima yang sesuai untuk anda gunakan hanyalah sehingga 2 kali sahaja. 

Hal ini kerana untuk hasil rakaman 4x dan 10x adalah tidak begitu jelas selain mempunyai noise yang banyak sehingga menjadikan hasil gambar yang diambil seakan kartun.

Bukan itu sahaja, sepanjang menggunakan kamera dari Samsung Galaxy Z Flip4 ini juga, penulis tidak perlu risau untuk membawa monopod apabila berada di luar. Hal ini kerana, penulis hanya perlu melipat peranti pada sudut 90 darjah untuk menstabilkan kedudukan kamera dan seterusnya anda boleh teruskan sesi mengambil gambar.

Estetika – Skrin 22:9 Vs Pengalaman Menatal Menggunakannya

Untuk penulis sendiri, pada kebanyakan masanya, penulis menggunakan peranti ini untuk membaca beberapa bahan bacaan menerusi aplikasi buku digital. Pengalaman keseluruhan adalah cukup memuaskan kerana penulis boleh melihat jumlah perkataan yang lebih banyak dan mood sewaktu bacaan juga lebih tenang disebabkan oleh panel skrin OLED yang terpasang pada peranti.

Walau bagaimanapun, secara jujurnya pengalaman penggunaan Samsung Galaxy Z Flip4 masih lagi agak janggal untuk penulis menatal dan menaip pada peranti walaupun pernah menggunakan Samsung Galaxy Z Flip3 sebelum ini. Ini berkemungkinan besar adalah disebabkan saiznya yang lebih panjang berbanding peranti biasa.

Namun, kelebihan saiz skrin 22:9 yang digunakan Samsung Galaxy Z Flip4 ini, menawarkan pengalaman menonton dan menstrim video yang lebih memuaskan. Mana tidaknya, disebabkan saiz skrin yang panjang, ia boleh memaparkan video dari hujung ke hujung dengan lebih luas tanpa mengganggu pandangan.

Malah, lekuk pada bahagian tengah skrin juga boleh dikatakan hampir tidak kelihatan pada mata kasar sewaktu menggunakan peranti untuk menonto video. Menurut Samsung, sejak Samsung Galaxy Z Flip3, mereka telah hadir dengan lapisan Ultra Thin Glass yang berfungsi baik dalam mengurangkan kesan lipatan pada skrin. Akan tetapi jika disentuh pada jari, ia sekali sekala mewujudkan ketidakselesaan sekiranya digunakan untuk menatal pada tempoh yang lama.

Dinamika – Tidak Lagi Perlu Risau Akan Ketahanan Bateri

Perkara yang paling digemari penulis pada peranti ini adalah penambahbaikan kapasiti bateri yang lebih besar dan lebih tahan lama. Mana tidaknya, sebelum ini penulis perlu mengecaj peranti beberapa kali sehari apabila menggunakannya secara kerap. Tetapi kini, penulis tidak perlu risau akan hayat bateri kerana boleh digunakan sehingga lebih daripada 9 jam dengan kadar kesegaran suai didayakan dan lebih dari 12 jam dengan kadar penyegaran standard.

Untuk penggunaan biasa, penulis sekadar membuka aplikasi media sosial, merakam dan menyunting gambar, menatal produk menarik di Shopee dan juga bermain permainan mudah-alih, ia sudah mencukupi dan tidak perlu mengecas terlalu kerap.

Bercerita mengenai sistem pengecasan pula, Samsung Galaxy Z Flip4 menyokong pengecasan 25W yang sekitar 60 minit untuk mengecas bateri sepenuhnya. Jadinya, jika anda ingin mengecas peranti pada waktu malam, anda boleh melakukannya satu jam lebih awal sebelum tidur atau sebelum melangkah ke tempat kerja.

Dengan ini dapat disimpulkan yang mana penggunaan Samsung Galaxy Z Flip4 ini sememangnya menawarkan pengalaman yang cukup baik yang setanding dengan penawaran harganya iaitu RM4099 sebuah. 

Tidak dinafikan salah satu faktor yang menjadikan ramai yang berminat untuk mendapatkan peranti ini adalah sebabkan penawaran rekaan dan juga warnanya yang menarik dan menawan. Namun, jika dilihat dari sudut spesifikasi dan juga kelebihan peranti, pada pandangan penulis ia cukup berbaloi bagi anda yang ingin mencuba sesuatu yang baharu.

Jadi, adakah Samsung Galaxy Z Flip4 telah memenuhi keperluan Tajria?

Jawapannya adalah ya, ia adalah sebuah peranti yang bergaya dari sudut spesifikasi dan rekaan.

Secara amnya juga, setiap ciri dan fungsi yang ditampilkan Samsung Galaxy Z Flip4 juga adalah memuaskan. Tidak kira melibatkan rakaman gambar, pengalaman menatal skrin sewaktu menggunakan media sosial mahupun fleksibiliti yang ditampilkan pada reka bentuk peranti.

Tambahan, pembaharuan yang dilakukan pada panel luar peranti adalah cukup memuaskan menerusi skrin yang kini berganda lebih besar. Melaluinya, anda boleh terus mengakses terus mesej pada notifikasi, pameran animasi dan gambar skrin yang lebih menarik selain menawarkan rakaman video dan gambar yang lebih berkualiti menggunakan kamera utama.