Carian
JOTUN Perkenal 21 Warna Sohor Kini Untuk Tahun 2023
November 1, 2022 Lina Rosli

Untuk setiap warna, ia membawa erti dan makna yang tersendiri yang mana adakalanya, ia dijadikan sebagai gambaran tentang apa yang dirasai individu. Sebagai contoh, biru dan hijau menggambarkan ketenangan, manakala putih membawa erti kesucian dan banyak lagi.

Apabila bercerita mengenai warna juga, kini terdapat pelbagai pilihan tona warna yang telahpun diperkenalkan di pasaran. Bermula dari tona warna gelap sehingga ke cerah, semuanya terbuka kepada orang ramai. Dan dengan kehadiran warna-warna ini, ia sekaligus memberikan lebih banyak ruang dan pilihan kepada individu dalam mengekspresikan perasaan dan pengalaman yang dialami.

Selari dengan itu juga, JOTUN yang merupakan syarikat kimia Norway yang bergiat aktif dalam pembuatan cat hiasan dan lapisan prestasi (marin, perlindungan dan serbuk lapisan) kini mula melancarkan Koleksi Warna Global miliknya untuk tahun 2023, ia bertunjangkan tema Stories at The Paper di APW Bangsar.

Aneka rona dan tema yang diperkenalkan telah dirumus khas untuk membuahkan ambien serba kreatif di ruang kediaman anda, di samping membekalkan individu peluang untuk mendefinisikan diri mereka melalui pelbagai trend warna yang baharu.

21 warna yang dibawakan bersifat abadi dan tidak berpandukan pilihan sohor kini semata-mata, pemilihannya dibuat atas dasar sifat positif, keluhuran dan versatilitinya. Dengan caranya sendiri, ia menyuntik elemen keceriaan pada mahligai idaman individu.

Tambah Jotun juga, 9 daripada 21 warna yang diperkenalkan merupakan ahli baharu dalam koleksi Jotun. Makmal teknologi warna JOTUN menerusi kerjasama dengan Larsen dan pasukannya, telah membangunkan sebuah pelet warna unik yang mencakupi warna-warna neutral serba suam, hijau natural yang mendamaikan, serta warna merah yang diperkayakan antara lainnya.

Warna-warna baharu ini telah dibahagikan kepada tujuh kumpulan, bersama rona-rona yang sedia ada daripada Jotun untuk menghasilkan tiga koleksi warna yang dipadankan dengan sempurna. Koleksi-koleksi unik ini merangkap suasana hati dan corak ekspresi yang pelbagai, justeru membolehkan pengguna menggandingkan aneka rona yang bersifat komplementari dan berkontras dalam setiap koleksi.

Tiga tema warna tersebut ialah:

Serene Presence – Warna Yang Halus, Pastel Dan Kehijauan

Memfokuskan konsep minimalis dan kesederhanaan, palet ini telah dirumus untuk gaya hidup yang jernih dan bebas dari kekusutan. Warna-warnanya serba lembut lagi halus, mewujudkan suasana ala spa yang dapat membantu anda kekal tertumpu. 

  • JOTUN 7038 Dusk Green rona hijau lembut sebagai simbol keseimbangan dan kedamaian
  • JOTUN 8087 Spring Air rona kuning kehijauan yang indah untuk menyerlahkan suasana kelapangan
  • JOTUN 1931 Cashew warna asas yang sempurna untuk kediaman yang ingin dilihatkan cerah dan bersifat abadi
  • JOTUN 1520 Cheerful Peach rona pic serba lembut yang meneroka konsep cahaya
  • JOTUN 2489 Bella rona jingga yang menyuntik elemen keceriaan
  • JOTUN 20186 Lavender Touch warna ungu untuk mencetus suasana yang damai dan hening
  • JOTUN 10678 Space warna kuning air yang suam dan sederhana, memberi pengisian yang tersirat namun meyakinkan

Naturally Grounded – Warna Tona Bumi Dengan Rona Kehijauan, Kekuningan Dan Jingga

Warna-warna dalam palet ini membina titian ke alam semula jadi, selain memberi sentuhan ala kehidupan di desa serta menonjolkan kecantikan dan karakter yang dianggap “tidak sempurna”. Rona-rona landskap yang mendamaikan ini ideal untuk melahirkan estetika umpama sebuah rumah kebun, atau memetik gambaran sebuah desa yang terletak di pusat bandar.

  • JOTUN 8575 Natural Green rona berilhamkan rimba yang menenangkan, menyerlahkan ambien bumi
  • JOTUN 8183 Herb Garden hijau untuk menyuntik nafas pada kediaman anda
  • JOTUN 1109 Mediterranean Olive sentuhan emas, menyulami ruang anda dengan kesuaman alam semula jadi
  • JOTUN 1276 Soft Rona neutral serba ringan dalam warna emas untuk ambien yang lebih mulus
  • JOTUN 11012 Rustic Brown tona bumi yang abadi lagi versatile
  • JOTUN 12123 Contemporary White warna putih moden yang lazim – ideal sebagai peralihan antara warna
  • JOTUN 1536 Burnt Ochre rona istimewa yang mencungkil aura kehangatan

Curated Living – Merah Dengan Rona Semula Jadi Dan Sentuhan Warna Biru

Gandingan yang sempurna antara tona berbaur nostalgik serta warna-warna kontemporari, palet yang bersifat abadi ini sempurna untuk mewujudkan suasana ala galeri di rumah anda. Ia memadankan elemen tradisional dan moden yang kondusif bagi ekspresi kreatif diri anda.

  • JOTUN 20208 Poetry Red elegan dan membangkitkan keyakinan dengan secubit nostalgia
  • JOTUN 2951 Sophisticated Red warna gelap yang menyulam rona baldu dan merah tua
  • JOTUN 20207 Statement Red warna menawan yang tersirat dengan sebuah cerita
  • JOTUN 12080 Soft Radiance tona emas yang sederhana untuk mengisi ruang anda dengan cahaya
  • JOTUN 0486 Early Rain tona warna abadi untuk suasana yang tampak gemulai dan lapang
  • JOTUN 10430 Soft Savanna warna perang keemasan yang malap untuk mencantikkan landskap anda
  • JOTUN 5530 Collected Blue warna biru serba istimewa yang mencungkil elemen keabadian

Sejajar dengan hasrat untuk mengisi jiwa, raga, dan minda orang ramai, JOTUN juga turut menghoskan sebuah sesi kebersamaan selama sebulan dari 3 November hingga 4 Disember di The Paper, APW Bangsar yang mana pelawat boleh mengunjungi ruang pameran bagi mendapatkan konsultasi warna daripada warga pakar atau untuk memetik ilham.

Pengunjung akan disajikan dengan persembahan muzik oleh artis tempatan, bengkel membuat wangian untuk melengkapi warna kediaman anda, dan sesi perkongsian untuk membantu anda menggubah ruang kediaman yang diidamkan. 

Komen