Carian
Ketahui Faktor Yang Menyebabkan Bayi Lahir Lebih Kecil Daripada Biasa
November 3, 2022 Lina Rosli

Kebanyakan bayi tidak dinafikan akan kelihatan kecil sewaktu awal kelahiran. Namun, terdapat juga segelintir kes yang mana bayi mempunyai saiz kelahiran yang jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan bayi yang seusia dengan mereka.

Untuk pengetahuan anda, keadaan ini dikenali sebagai Kecil Daripada Usia Kandungan atau small for their gestational age (SGA).

Perkara ini merujuk kepada ukuran bayi yang dilakukan secara objektif bagi mengetahui saiz rangka mereka. Rata-rata klinik atau hospital akan dilakukan secara rutin untuk semua bayi yang dilahirkan di Malaysia dan di seluruh dunia. 

Selepas kelahiran, jururawat bukan sahaja membersihkan dan menjalankan pemeriksaan segera untuk sebarang perkara yang diluar kebiasaan tetapi mereka juga akan mengukur panjang bayi, melakukan ukur lilit kepala bayi dan juga mendapatkan berat awalnya.

Dengan ketiga-tiga ukuran inilah yang dapat menentukan jika saiz bayi itu kecil daripada usia kandungan (SGA) yang mana saiz tersebut kelihatan kecil sewaktu kandungan berada di dalam rahim ibu mereka.

Ketahui Jenis-Jenis Bayi SGA

SGA hadir dalam dua kategori iaitu pramatang dan cukup bulan. Pramatang merujuk kepada bayi yang dilahirkan sebelum lengkapnya 37 minggu tempoh kehamilan manakala bayi yang cukup bulan ialah mereka yang dilahirkan pada atau selepas 37 minggu kehamilan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bayi SGA ialah bayi yang memiliki berat dan panjang di bawah persentil ke-10 carta pertumbuhan untuk usia kehamilan mereka.

Bagi bayi yang lahir cukup bulan, terdapat kriteria tambahan yang akan dinilai sama ada berat badan mereka semasa lahir melebihi atau di bawah 2.5kg. Untuk bayi yang lahir di bawah berat 2.5kg semasa lahir, ia akan dianggap mempunyai berat kelahiran yang rendah.

Mengapa SGA Boleh Berlaku?

Terdapat tiga punca utama SGA:

  • masalah ibu
  • masalah plasenta
  • masalah janin

Punca daripada ibu biasanya adalah kesan daripada kesihatan ibu semasa mengandung. Contohnya, jika si ibu mempunyai sebarang jangkitan atau masalah kesihatan seperti penyakit jantung atau diabetes yang tidak terkawal, penyakit tiroid atau tekanan darah tinggi sepanjang tempoh kehamilan.

Pengambilan alkohol atau merokok, serta pemakanan yang tidak terjaga semasa kehamilan juga boleh menjadi punca bayi SGA. Faktor lain termasuk umur dan ketinggian ibu.

Risiko melahirkan bayi SGA adalah jauh lebih tinggi bagi wanita berumur 30 tahun ke atas yang tidak pernah melahirkan anak serta wanita yang berumur 40 tahun ke atas berbanding dengan wanita dalam lingkungan 20-an.

Wanita yang rendah juga berisiko melahirkan bayi SGA kerana anatomi mereka seperti saiz rahim lebih kecil dan laluan kelahiran yang lebih pendek mempengaruhi pertumbuhan janin mereka. 

Menariknya, kajian mendapati bahawa risiko bayi SGA boleh dipengaruhi sejak dua generasi sebelumnya. Ini bermaksud jika wanita hamil itu atau ibu mereka sendiri (nenek kepada janin) merupakan bayi SGA ketika mereka lahir. Maka, janin yang dikandung kini mempunyai risiko tinggi dilahirkan sebagai bayi SGA.

SGA yang berpunca daripada plasenta pula boleh berlaku akibat gangguan aliran darah ke uri yang tidak berlaku seperti yang sepatutnya. Keadaan ini boleh menyebabkan bekalan darah ke plasenta terganggu yang boleh mengakibatkan kematian sel plasenta ataupun pemisahan plasenta.

Dalam kes lain, si ibu juga berkemungkinan besar mengalami struktur plasenta abnormal yang mengganggu fungsi normalnya. Kesan daripada semua keadaan ini ialah janin tidak menerima nutrien dan oksigen yang mencukupi daripada ibu mereka sekali gus menjejaskan pertumbuhan janin.

Manakala, punca yang timbul daripada janin itu sendiri termasuklah:

  • kecacatan genetik atau kromosom, contohnya sindrom Down dan keabnormalan kongenital seperti kecacatan struktur jantung, buah pinggang, paru-paru atau usus.
  • Jangkitan semasa dalam kandungan atau kehamilan berganda iaitu kembar dua, kembar tiga, dan sebagainya juga boleh menjejaskan pertumbuhan janin.

SGA Turut Boleh Dikategorikan Sebagai Simetri Dan Tidak Simetri

Untuk SGA simetri, ukuran panjang badan, berat, dan ukur lilit kepala bayi akan memperlihatkan nilai yang kurang daripada bayi normal. Dan ini boleh dikenalpasti bermula pada awal kehamilan, dan ia cenderung dilihat pada trimester pertama.

Sementara SGA tidak simetri pula, panjang dan ukur lilit kepala bayi adalah normal. Ini bermakna pertumbuhan otak dan tulang mereka adalah seperti yang dijangkakan. Walau bagaimanapun, berat badan mereka adalah rendah. Dan biasanya, ia akan menunjukkan masalah menjelang akhir trimester ketiga kehamilan, kerana berat janin bertambah dengan banyak dalam tempoh ini.

Oleh itu, wanita hamil harus memastikan bahawa mereka menjalani pemeriksaan pranatal untuk memantau dan menguruskan sebarang masalah yang mungkin mengakibatkan kelahiran bayi SGA.

Kenalpasti Komplikasi SGA

Bayi SGA mungkin menghadapi masalah tertentu selepas bersalin kerana saiznya yang kecil. Hal ini kerana mereka hanya mempunyai sedikit lemak atau tenaga yang disimpan. Ini termasuk:

  1. Hipotermia – Mereka mungkin mengalami masalah suhu badan yang rendah semasa lahir. Keadaan ini boleh mengakibatkan hipotermia, iaitu badan kehilangan haba lebih cepat daripada yang boleh dihasilkan. Jika keadaan ini berterusan, bayi boleh mati kerana jantung dan otak mereka tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya pada suhu yang kurang optimum ini.
  2. Hipoglisemia -Kekurangan lemak dan glikogen yang tersimpan dalam hati bayi SGA juga boleh menyebabkan hipoglisemia, iaitu mereka mempunyai paras gula darah yang rendah, yang tidak dapat memenuhi keperluan badan mereka. Ini boleh menyebabkan bayi mengalami sawan atau kerosakan otak. Jika hipoglisemia berpanjangan, bayi mungkin mati atau mengalami defisit perkembangan saraf jangka panjang termasuk Cerebral Palsi (CP).
  3. Masalah kesihatan yang berlarutan – Ia terjadi semasa di dalam rahim yang melibatkan pengaturan metabolisme (metabolic programming) dan akil baligh (pubertal programming). Sebagai contoh, bayi SGA akan “diprogram” untuk menyimpan semua nutrien dan kalori yang mereka terima. Ini bermakna selepas kelahiran, bayi SGA terdedah kepada obesiti dan penyakit yang berkaitan dengannya seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, osteoarthritis dan penyakit jantung. “Programming” ini juga kekal sepanjang hayat mereka.

Kadar pertumbuhan mereka juga boleh mempengaruhi masa bermulanya akil baligh. Bayi SGA yang membesar (berat dan tinggi) dengan kadar yang sangat cepat mungkin mengalami akil baligh lebih awal. Sebaliknya, jika mereka lambat membesar, akil baligh mereka mungkin tertangguh.

Komplikasi SGA yang lain adalah kurang ketinggian yang berterusan. Secara umumnya, bayi SGA sepatutnya dapat mencapai pertumbuhan normal mereka dalam tempoh enam bulan hingga dua tahun pertama kehidupan mereka dengan pengambilan nutrisi yang optimum.

Kajian menunjukkan 85% bayi SGA mencapai ketinggian dan berat normal untuk umur serta jantina mereka pada usia dua tahun. Sesetengah kanak-kanak memerlukan masa yang lebih lama dan masih ada kelonggaran sehingga umur lima tahun untuk membolehkan mereka mencapai pertumbuhan seperti rakan sebaya mereka.

Walau bagaimanapun, menjelang umur lima tahun, kira-kira 8-10% bayi SGA masih kekal lebih kecil daripada biasa dan inilah masanya ibu bapa serta doktor perlu mula membincangkan rawatan terbaik untuk kanak-kanak tersebut. 

Menurut Prof Dr Muhammad Yazid Jalaludin, amat penting untuk ibu bapa memantau pertumbuhan anak mereka dengan teliti, terutamanya dalam lima tahun pertama kehidupan. Ibu bapa dan penjaga boleh mengukur ketinggian anak-anak menggunakan pengukur dan menyemak ukuran ini dengan merujuk pada carta pertumbuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia berdasarkan jantina serta umur yang sesuai.

Mereka juga boleh menggunakan peranti digital seperti aplikasi Growth Journey yang diiktiraf oleh Persatuan Pediatrik Malaysia. Alat ini membantu memantau pertumbuhan kanak-kanak melalui gambar kanak-kanak dan akan memberi amaran kepada ibu bapa jika trend pertumbuhan yang membimbangkan dikesan.

Artikel ini dikongsikan oleh Prof Dr Muhammad Yazid Jalaludin, Pakar Perunding Kanan Kanak-Kanak & Endokrin Kanak-Kanak, UM Specialist Centre; Timbalan Dekan (Ijazah Dasar), Fakulti Perubatan Universiti Malaya

Komen