Sos Tomato Perlu Disimpan Di Mana – Luar Atau Di Dalam Peti Sejuk?
Lina Rosli
Kebanyakan barangan makanan sudah diketahui mempunyai tempat penyimpanan yang jelas, seperti aiskrim, ikan dan nugget perlu disimpan di dalam peti sejuk, manakala pasta kering, biskut dan air kordial pula boleh disimpan di luar iaitu di dalam almari.
Akan tetapi, tempat penyimpanan barangan seperti sos tomato, sos cili, sos tiram mahupun bar coklat nampaknya masih kurang jelas. Manakah tempat ia sepatutnya disimpan tanpa menjejaskan kualiti asal mereka?

Dalam satu kajian, ia mendapati bahawa 56 peratus dari responden yang dipilih menyimpan sos tomato di dalam almari. Tinjauan itu juga mendapati bahawa hanya 37 peratus responden yang ditinjau menyimpan mayonis mereka di dalam peti sejuk dan 11 peratus responden pula meletakkan roti di ruang yang berhawa dingin.
Dengan ini, ia dilihat terdapat perbezaan cara penyimpanan yang diamalkan oleh rata-rata individu. Namun, harus diingatkan, walau di mana anda meletakkan sesuatu barangan, ia perlulah dilakukan mengikut keperluan yang telah ditetapkan oleh pengeluar.
Sebagai contoh, coklat paling baik disimpan di tempat yang sejuk dan kering seperti almari simpanan. Apabila coklat dikeluarkan dari peti sejuk, pemeluwapan akan terhasil dan sekaligus menyebabkan fenomena yang dipanggil gula mekar – salutan serbuk putih pada permukaan luar coklat anda.
Jadi, Manakah Tempat Penyimpanan Yang Sesuai Untuk Sos Tomato?
Secara umumnya, sos tomato harus disimpan dalam peti sejuk sebaik sahaja dibuka dan dimakan dalam tempoh lapan minggu. Dan rata-rata selepas 6 bulan, kualiti sos dijangka akan menurun dan pakar mengesyorkan untuk menggunakan produk itu dalam tempoh separuh masa itu.

Untuk pengetahuan anda, sos tomato adalah jenis makanan berasid kerana kedua-dua tomato dan cuka yang terkandung di dalamnya. Jadi, walaupun digunakan untuk tempoh yang lama, anda mungkin tidak akan melihat percambahan kulat di dalamnya kerana asid tersebut menghalang pertumbuhan bakteria dengan ketara.
Sekiranya anda ingin mengetahui sama ada makanan anda masih elok atau sebaliknya, menghidu makanan antara teknik yang berguna untuk mengenalpasti kondisi makanan. Selain itu, rasa dan sentuhan juga boleh menjadi pengecam kerosakan yang baik. Jika anda mempunyai sos yang terasa seperti berlendir, sudah tiba masanya untuk membuangnya.