Kesihatan fizikal sememangnya penting namun kesihatan mental dan emosi turut tidak boleh diabaikan kerana ia turut menyumbang kepada kesejahteraan seseorang secara menyeluruh. Bersempena dengan bulan kesedaran kesihatan lelaki pada bulan November ini, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) menyeru para lelaki untuk mengutamakan kesihatan mereka tanpa mengira betapa mencabarnya untuk berbuat sedemikian.
Sebuah laporan daripada Frontiers in Psychiatry mendedahkan bahawa kadar bunuh diri dalam kalangan individu lelaki telah meningkat secara ketara di antara tahun 2014 dan 2019. Angka tersebut menunjukkan terdapat purata 5.8 bagi setiap 100,000 penduduk – yang dianggarkan sebanyak 1,841 kematian akibat bunuh diri berlaku setiap tahun dengan lima kematian setiap hari, menjadikan ia perkara yang membimbangkan dan perlu diambil serius.

Kebanyakan lelaki sukar berkongsi masalah berkaitan kesihatan fizikal dan mental kerana mereka selalunya adalah pencari nafkah untuk keluarga mereka. Ini boleh menyebabkan mereka mengabaikan sebarang penyakit yang dialami dan seterusnya menyebabkan tahap kesihatan mereka semakin merudum.
Dr Celine Chan Tze Lin, Pakar Perunding Psikiatri daripada SMCV berkongsi bahawa lelaki yang tidak boleh bercakap tentang emosi mereka secara terbuka mungkin mengalami kesukaran untuk mengenal pasti simptom masalah kesihatan mental. Justeru, mereka kurang berkemungkinan untuk mendapatkan sokongan serta memerlukan bantuan orang lain yang rapat dengan mereka untuk mengesan tanda-tandanya.
Antara petanda ahli keluarga atau rakan anda mungkin mengalami penyakit mental dan mungkin memerlukan bantuan anda ialah:
- Selalu berasa sedih
- Cemas
- Bimbang
- Cepat marah
- Mengalami masalah tidur
- Tidak lagi berminat dengan hobi dan perkara lain
Apabila perasan-perasaan ini menjadi semakin kuat dan berlarutan untuk tempoh yang lama serta mula menganggu prestasi kerja dan hubungan, ia mungkin petanda masalah kesihatan mental.
Tidak dinafikan, lelaki mempunyai sistem sokongan yang kuat. Ia termasuklah kemahiran kawalan diri atau ‘coping skills’ yang lebih baik, mengurangkan kemurungan serta kebimbangan dan tekanan. Namun, tanpa sistem sokongan yang kuat, terdapat kemungkinan untuk para lelaki menggunakan kaedah kawalan diri yang tidak sihat serta tidak bercakap tentang kesihatan mental mereka kepada ahli keluarga atau kawan-kawan.
Satu cara untuk meyakinkan lebih ramai lelaki untuk mendapatkan bantuan ialah melalui cara membuatkan mereka faham bahawa tidak menjadi masalah untuk mereka mendapatkan bantuan serta bercakap dengan seseorang yang dipercayai dan mengambil berat tentang mereka untuk menghilangkan tekanan yang dialami.
Kenalpasti Pembunuh Senyap Dalam Kalangan Lelaki
Selain daripada membincangkan isu kesihatan mental, menjalankan pemeriksaan diri dan mendapatkan rawatan untuk penyakit seperti kanser boleh membawa kepada hasil rawatan yang lebih baik.
Menurut Dato’ Dr Selvalingam Sothilingam, Pakar Perunding Urologi, beliau menerangkan bahawa pembunuh senyap merujuk kepada kanser yang wujud dan menyebabkan simptom minimum seperti kanser prostat dan kanser testis boleh disembuhkan jika dapat dikesan lebih awal.

Kanser prostat sering dikelirukan dengan hyperplasia prostat benigna (BPH) yang merupakan sejenis keadaan bengkak prostat yang selalunya berlaku di kalangan lelaki yang lebih berusia serta lebih banyak berlaku daripada kes kanser. Kanser testis pula boleh bermula daripada sebuah ketulan kecil di testis dan lebih mudah dikesan tetapi hanya jika seseorang lelaki itu selalu melakukan pemeriksaan testis kendiri secara berkala.
Kedua-dua kanser ini boleh wujud tanpa sebarang simptom namun terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira sebagai faktor risikonya seperti:
- lelaki yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser prostat atau payudara
- lelaki berumur 50 tahun ke atas terutamanya mereka yang mengalami lower urinary tract symptoms yang mana mereka boleh mendapatkan rundingan doktor dan mempertimbangkan untuk melakukan ujian darah penanda tumor ‘Prostate Specific Antigen’ (PSA)
Bagi kanser testis, antara faktor risikonya ialah mereka yang mempunyai jumlah sperma yang sedikit dengan masalah kesuburan, lelaki yang mempunyai sejarah masalah testis tidak turun atau ‘undescended testis’ serta masalah genetik tertentu. Pemeriksaan testis kendiri adalah cara yang baik untuk mengesan sebarang kekerasan atau ketulan pada testis.

Untuk mendapatkan bantuan, terdapat NGO seperti Persatuan Kanser Prostat Malaysia (PCSM) yang boleh memberikan kata-kata nasihat dan semangat dalam membantu mengurangkan beban individu mengenai keadaan kesihatan. PCSM juga menyediakan kumpulan sokongan di pelbagai hospital untuk membantu mengurangkan kebimbingan para pesakit yang baru didiagnosis dengan kanser prostat.
Di samping pemeriksaan kesihatan secara berkala dan amalan gaya hidup sihat seperti kerap bersenam, individu juga boleh mendapatkan nasihat daripada pakar yang terlatik di Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity atau mana-mana pusat perubatan lain yang berdekatan anda.