Di saat kanak-kanak baru mula untuk membesar dan menikmati makanan secara sendiri, adalah amat penting untuk ibu bapa sentiasa peka dengan penyediaan hidangan yang akan diberikan kepada anda-anak.
Hal ini kerana, di peringkat awal mereka mula mendapatkan makanan secara sendiri, kanak-kanak cenderung berisiko mengalami kesukaran untuk mengunyah dan menelan makanan lebih-lebih jika ia dilakukan bukan dibawah pengawasan orang dewasa.
Apakah Langkah Atau Persediaan Sebelum Mula Memberikan Ruang Untuk Anak-Anak Kecil Makan Sendiri?
Perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah jenis makanan.
Secara umumnya, terdapat segelintir makanan yang dihidangkan mempunyai tekstur yang keras atau tidak mudah hancur apabila dikunyah. Dan jika ia disediakan dalam bentuk atau saiz yang berpadanan dengan mulut anak anda, ia boleh mencetuskan bahaya tercekik.
Selain daripada itu, anda juga boleh memastikan:
- Tidak menawarkan makanan terlalu kecil dan keras yang boleh menyebabkan kanak-kanak tersedak lalu tercekik.
- Ajar dan perhatikan dulu cara anak-anak anda makan sebelum mereka dibiarkan berdikari.
- Tidak membiarkan anak-anak makan sambil baring, merangkak, atau berjalan.
- Minta anak anda duduk di kerusi tinggi atau tempat selamat yang lain.
- Elakkan membiarkan anak anda makan di dalam kereta atau kereta sorong.
- Sediakan ruang dan waktu yang tenang ketika makan. Elak daripada makan dalam keadaan yang gopoh dan tergesa-gesa
- Kerap perhatikan dengan teliti apa yang anak anda masukkan ke dalam mulutnya.
Dari sudut penyediaan makanan pula;
- Masak atau mengukus makanan keras, seperti lobak merah sehingga ia cukup lembut untuk ditusuk garfu.
- Buang biji atau kulit yang keras daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.
- Cincang halus makanan menjadi kepingan nipis sekurang-kurangnya bersaiz 1/2 inci panjang.
- Asing dan keluarkan semua tulang daripada ikan, ayam dan daging sebelum dimasak atau dihidangkan.
Apakah Langkah Yang Perlu Dilakukan Sekiranya Anak-Anak Tercekik Makanan?
Perkara pertama yang boleh anda lakukan ketika berhadapan dengan situasi anak tercekik adalah dengan mengeluarkan makanan yang tersangkut terlebih dahulu jika anda boleh melihatnya.
Pastikan anda tidak mencucuk atau menariknya berulang kali dengan jari anda jika ia tidak mudah untuk dibuang. Ini kerana anda boleh memburukkan keadaan dengan menolak objek lebih jauh ke dalam dan menjadikannya lebih sukar untuk dialih keluar.
Galakkan juga anak yang tercekik untuk batuk berterusan bagi mengeluarkan sisa yang tersekat. Jika anak anda masih sedar, tetapi mereka sama ada tidak batuk atau batuknya tidak berkesan, gunakan pukulan ke belakang.
Cara 1: Tepuk belakang untuk bayi bawah 1 tahun
- Duduk dan baringkan bayi anda menghadap ke bawah di bahagian paha sambil lengan bawah anda menyokong belakang dan kepala mereka.
- Beri sehingga 5 pukulan atau tepukan ke bahagian tengah belakang badan antara tulang belikat menggunakan tapak tangan.
Cara 2: Tepuk belakang untuk kanak-kanak lebih 1 tahu
- Sokong badan anak anda dengan cara posisikannya dalam kedudukan condong ke hadapan dan berikan 5 pukulan atau tepukan ke belakang badan.
- Jika pukulan belakang tidak melegakan rasa tercekik dan bayi atau anak anda masih sedar, berikan tujahan dada (chest thrust) kepada bayi bawah 1 tahun atau tujahan perut (abdominal thrust) kepada kanak-kanak yang berumur lebih dari 1 tahun. Ulang tujahan ini sebanyak 5 kali.
Sekiranya pertolongan kecemasan yang diberikan ini tidak berfungsi, anda perlu memanggil dan mendapatkan bantuan daripada 999 dan bawanya ke klinik berdekatan.
Harus diingatkan, pastikan anda tidak meninggalkan anak yang tercekik bersendirian kerana bimbang mereka memerlukan bantuan segera untuk mengeluarkan makanan yang tersangkut.