Penjagaan kualiti kuali adalah penting bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang tempoh memasak. Lebih-lebih lagi jenis kuali seperti teflon.

Hal ini kerana, menurut kajian yang dilakukan keatas keselamatan penggunaan teflon, satu kumpulan penyelidik telah menemui yang mana bahan-bahan di dalamnya berisiko menyebabkan kemudaratan apabila dicampur pada makanan. Bahan-bahan yang dimaksudkan adalah bahan per– dan polifluorinasi (PFAS).

Berdasarkan pengenalpastian oleh penyelidik, zarah plastik Teflon dan mikroplastik lebih sukar untuk dikesan berbanding jenis plastik lain. Jadi, mereka menggunakan teknik pengimejan Raman yang menghasilkan imej yang terperinci untuk mengimbas berbilang permukaan Teflon yang telah tercalar atau pecah dalam beberapa kapasiti. Dan hasilnya, mereka mendapati bahawa walaupun hanya satu calar atau kawasan permukaan yang rosak muncul pada kuali Teflon boleh mengeluarkan lebih 9,000 zarah plastik berbahaya.

Dalam laporan CDC juga, PFAS digunakan untuk membentuk salutan yang tahan terhadap bahan seperti haba, air dan gris. Inilah sebabnya mengapa ia sering ditemui dalam barangan isi rumah biasa seperti periuk dan kuali, pakaian, perabot, dan beberapa pembungkus makanan. Malangnya, apabila sesuatu seperti kuali Teflon tercalar, ia berisiko menyebabkan individu terdedah kepada bahan kimia ini.

CDC turut menekankan bahawa setakat ini tiada penyelidikan konklusif yang telah dilakukan mengenai risiko atau bahaya yang tepat yang berkaitan dengan pendedahan PFAS. Walau bagaimanapun, kajian berbeza mendapati bahawa terdapat potensi risiko perkara seperti peningkatan tekanan darah pada mereka yang hamil, peningkatan kolesterol, perubahan dalam hati anda, dan mungkin juga mengurangkan tindak balas vaksin pada kanak-kanak.

Bercerita mengenai cara penggunaan kuali Teflon lagi, jenis kuali ini hadir dengan binaan yang tidak tahan haba melampau selain turut tidak sesuai digunakan bersama bahan kutleri yang tajam dan keras. Maka, apabila digunakan terlalu kerap, lapisan fluorokarbon cenderung untuk terhakis dari masa ke semasa.

Sumber: Eat This