Carian
Hourglass Menampilkan Palet Solekan Yang Diinspirasikan Kupu-Kupu
November 10, 2022 Lina Rosli

Untuk anda yang menggemari rekaan yang menampilkan ciri yang unik dan menarik, maka anda mungkin tidak ingin melepaskan peluang untuk mendapatkan koleksi menarik daripada Hourglass, iaitu Ambient Lighting Edit Unlocked Butterfly.

Menerusi palet yang diinspirasikan kupu-kupu ini, ia menampilkan elemen warna dan corak pada kerangka eksklusif yang unik. Ia hadir dengan tiga tona pencahayaan jenis ambien baharu untuk mencipta kemasan kilauan sempurna kepada pengguna yang mana ia sesuai untuk gaya solekan harian ataupun solekan yang ingin menggamit semula nostalgia. 

Direka oleh Katiescott untuk kerangka palet, Ambient Lighting Edit Unlocked Butterfly merupakan palet enam warna yang hadir dengan dua serbuk kemasan (finishing powder), satu serbuk penyerlah (higlighter) bersama tiga warna pemerah pipi yang sesuai untuk meresap, menaikkan, dan menambah cahaya pada kulit wajah.

Menurut Hourglass, mereka menggunakan teknologi photoluminescent yang merupakan serbuk yang akan menapis cahaya tegar di persekitaran dan sekaligus berupaya meningkatkan seri kulit. Sesuai untuk anda yang ingin tampil berani, namun dalam pada masa yang sama masih ingin mengekalkan warna yang lembut, palet solekan ini bertindak baik untuk anda tampilkan imej yang baru.

Dalam pada masa yang sama, Hourglass turut hadir dengan inisiatif kelestarian yang mana mereka akan mendermakan 5% keuntungan tahunan bagi koleksi ini kepada sebuah organisasi di Amerika Syarikat dalam menjaga hak asas untuk haiwan.

Komen