Jika dibilang berapa jam sehari telah anda gunakan untuk menatal kandungan di dalam telefon bimbit dan komputer, pastinya nilai purata setiap individu akan berada dalam lingkungan 7 hingga 10 jam dengan bergantian dari satu skrin ke skrin yang lain.
Secara umumnya, berada di hadapan skrin terlalu lama secara konsisten boleh memberikan kesan yang buruk kepada tubuh. Mana tidaknya, anda akan menghabiskan masa berjam-jam merenung skrin sehingga boleh menyebabkan mata berasa kering dan seterusnya menjurus kepada kerosakan retina dan penglihatan juga boleh menjadi kabur.
Dan di dalam kes lain, apabila duduk di hadapan skrin, tubuh badan anda juga akan sentiasa membongkok. Akibatnya, ia menjejaskan postur anda dan boleh menyebabkan kekakuan dan kesakitan pada kedua-dua leher dan bahu.
Kajian Dapati Terdapat Peningkatan Dalam Purata Penggunaan Skrin Dalam Kalangan Kanak-Kanak
Baru-baru ini dalam laporan analisis yang diterbitkan oleh JAMA Pediatrics, ia menyatakan bahawa purata penggunaan skrin harian kanak-kanak sewaktu pandemik Covid-19 telah meningkat lebih sejam dua puluh minit.
Kajian ini dilakukan ke atas 30,000 kanak-kanak berumur sekitar 3 hingga 18 tahun daripada pelbagai negara, dan ia memperlihatkan dapatan yang mana penggunaan skrin harian mereka meningkat daripada 162 minit sehari sebelum pandemik kepada 246 minit semasa pandemik.

Penyelidik melihat masa skrin dan jenis peranti yang digunakan antara 1 Januari 2020 dan 5 Mac 2022, dengan mengekstrak data daripada 46 kajian ke atas hampir 30,000 kanak-kanak di pelbagai negara.
Selari dengan peningkatan masa di hadapan skrin, ia sekaligus telah menyebabkan beberapa isu lain dalam kalangan kanak-kanak termasuk penurunan sebanyak 32% penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti fizikal sederhana hingga cergas sepanjang tempoh pandemik.
Faktor peningkatan penggunaan skrin ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh perubahan gaya pembelajaran termasuk aktiviti sosialisasi yang kini banyak memfokuskan kepada penggunaan gajet dan platform atas-talian.
Bagaimana Hendak Mengehadkan Waktu Penggunaan Skrin Kanak-Kanak?
Walaupun tidak realistik, dalam keadaan sekarang, ia adalah sangat penting untuk kita mencari masa yang jauh dari skrin. Berikut adalah beberapa cara yang baik untuk melakukannya.
1. Jadikan waktu makan dan hujung minggu anda bebas peranti
Ini bukan sekadar kaedah yang tepat untuk mengalihkan pandangan kanak-kanak dan menumpukan perhatian pada keseronokan makan. Malah, ia juga merupakan kaedah terbaik untuk berhubung kembali dengan keluarga terdekat.
Pada waktu itu, ibu bapa mungkin boleh mencari satu topik yang boleh dibincangkan dan dibualkan bersama seluruh alih keluarga. Melaluinya, ibu bapa boleh mengetahui dan mengenali apakah kesukaran atau kegembiraan yang mungkin sedang dialami oleh salah satu ahli dalam keluarga.

2. Matikan peranti kanak-kanak sekurang-kurangnya sejam sebelum tidur
Seperti yang ramai sedia maklum, lampu biru yang dipancarkan oleh telefon, tablet, komputer riba dan TV boleh meningkatkan pengeluaran melatonin yang mana ia boleh mengganggu kitaran hormon yang membantu mengatur kitaran tidur dan bangun anda.
Oleh itu, para ibu bapa disarankan untuk mematikan semua alat elektronik kanak-kanak apabila menjelang jam 10 malam. Seterusnya, kurangkan cahaya lampu di dalam bilik tidur dan cuba teknik yang boleh merangsang kualiti tidur seperti memasang muzik menenangkan ataupun lakukan yoga restoratif serta latihan minda yang santai.

3. Cari hobi atau aktiviti santai sebagai pengganti media sosial
Menurut penyelidikan UCL, penggunaan media sosial yang kerap menjejaskan kesihatan mental atau kesejahteraan remaja dengan meningkatkan pendedahan mereka terhadap buli dan mengurangkan tidur dan latihan fizikal.
Antara aktiviti menarik yang boleh anda cuba untuk melarikan fokus anda pada skrin adalah:
- Main permainan papan ataupun kad.
- Mencuba resipi manisan baharu ataupun mula bercucuk tanam di balkoni rumah.
- Anda juga boleh mencari dan membeli kit-kit menjahit, kit membuat lilin ataupun lukisan yang di kedai atas-talian.
- Belajar kemahiran baru sama ada seni kopi ataupun seni visual yang lain.