Carian
Zamrud Terbesar Di Dunia Ditemui Di Zambia – Mempunyai Berat 1.5kg
November 15, 2022 Lina Rosli

Menerusi laman Guinness World Records, sebuah batu permata zamrud yang belum dipotong telah ditemui di Zambia. Ia merupakan zamrud yang terbesar di dunia yang mempunyai berat luar biasa iaitu 7,525 karat sekitar 1.505 kg.

Rekod sebagai zamrud yang terbesar di dunia ini telah disahkan oleh Guinness World Records pada 22 April 2022. Dan antara syarat yang perlu dipenuhi untuk pengiktirafan ini adalah ia perlu terhasil daripada batu permata semula jadi dan bukan yang diubah suai secara khusus.

Berdasarkan laporan, zamrud itu pertama kali ditemui oleh ahli geologi Manas Banerjee dan Richard Kapeta serta pasukan mereka pada tahun lepas sekitar bulan Julai 2021 di lombong Kagem yang terletak di Wilayah Copperbelt Zambia.

Permata gergasi itu dinamakan Chipembele, bermaksud “badak” dalam dialek asli tempatan orang Bemba di Zambia. Penamaan ini berikutan rupa dan bentuk zamrud tersebut yang kelihatan seakan tanduk.

Sebelum penemuan zamrud Chipembele ini, pasukan geologi turut pernah menemui dua batu zamrud yang dikenali sebagai Insofu (gajah) pada tahun 2010 dengan berat sekitar 1.25kg dan Inkalamu (singa) seberat 1.13kg pada tahun 2018 di lokasi yang sama.

Komen