Sebelum ini, WHO telahpun menyatakan bahawa kira-kira 1 bilion individu yang berusia 12 hingga 35 tahun dikatakan berisiko mengalami masalah kehilangan pendengaran.
Menurut WHO, perkara ini mungkin disebabkan oleh penggunaan peranti audio peribadi yang tidak selamat dan pendedahan kepada tahap bunyi yang kuat di tempat seperti kelab malam, bar, konsert dan acara sukan untuk tempoh yang panjang.

Apabila bercakap tentang audio, ia berkait rapat dengan telefon, muzik dan televisyen yang mana ia kini menjadi satu perkara biasa bagi golongan remaja ataupun dewasa muda untuk mendengar audio terlalu kuat dan terlalu lama, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal BMJ Global Health.
Rentetan daripada itu, WHO telah mengeluarkan piawaian antarabangsa baharu bagi mengurangkan risiko masalah pendengaran ketika berada di kawasan awam. Piawaian ini merujuk kepada pemasangan muzik atau audio yang dimainkan secara kuat yang mana bagi kebanyakan tempat atau acara, mereka tidak menyediakan pilihan untuk individu mendengar dengan selamat (safe listening) sekaligus telah menyumbang kepada risiko kehilangan pendengaran.
Hal ini kerana, menurut Lauren Dillard yang merupakan konsultan di WHO dan juga pelajar kedoktoran di Medical University of South Carolina, pendedahan kepada bunyi pada volum yang terlalu tinggi boleh meletihkan sel dan struktur deria di telinga. Jika itu berlaku terlalu lama, ia boleh menjadi rosak kekal, mengakibatkan kehilangan pendengaran, tinnitus atau kedua-duanya.
Oleh itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS mengehadkan paras bunyi selamat pada sekitar 85 desibel selama 40 jam seminggu. Jika anda mendengar hanya 2½ jam dalam sehari, jumlah itu adalah bersamaan dengan kira-kira 92 desibel.
Dalam kajian itu juga, rata-rata individu sering memilih volum setinggi 105 desibel dan secara purata kebanyakan individu mendengar antara 104 hingga 112 desibel setiap aktiviti.

Langkah Pencegahan – Lindungi Diri Daripada Pencemaran Bunyi
Pendedahan kepada bunyi yang kuat menyebabkan kehilangan pendengaran sementara atau tinnitus. Namun, jika ia berlaku untuk tempoh yang berpanjangan atau berulang kali, anda beriko menghadapi kerosakan pendengaran secara kekal selain tidak dapat dipulihkan.
Bagi mengatasi masalah ini, anda disarankan untuk:
- meminimakan kelantangan bunyi pada peranti audio peribadi
- menggunakan fon telinga atau fon kepala yang dipasang dengan baik, dan jika boleh gunakan alat elektronik yang menawarkan ciri pembatalan hingar
- memakai penyumbat telinga di tempat yang bising
- mendapat pemeriksaan pendengaran secara berkala

Setakat ini, pakar tidak dapat menyatakan secara konklusif fon kepala mana yang paling selamat untuk didengar tetapi dia memang mengesyorkan menggunakan fon kepala yang mengurangkan bunyi latar belakang, yang boleh membantu mengekalkan kelantangan pada tahap yang lebih rendah kerana anda tidak perlu menenggelamkan bunyi di sekeliling anda.
Jika anda berada di konsert atau tempat yang kuat, anda boleh melindungi pendengaran anda dengan berdiri lebih jauh daripada pembesar suara dan berehat daripada bunyi bising untuk beberapa ketika.