Tinggal beberapa hari lagi sebelum tibanya hari Pilihan Raya Negeri 2023 di 6 negeri di Malaysia iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Dalam masa terdekat ini, pasti ramai yang mula bergerak dan pulang ke lokasi mengundi masing-masing bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Selain daripada menyemak status daftar pemilih masing-masing sejak bulan yang lepas, terdapat beberapa lagi persiapan dan persediaan yang boleh anda lakukan sama ada sebelum dan juga sewaktu keluar mengundi.

Dan hari ini Tajria, akan berkongsi tips dan idea persiapan yang boleh anda lakukan pada hari Sabtu bersamaan dengan 12 Ogos 2023.

Sebelum Keluar Mengundi

  1. Rancang outfit anda. Malam sebelum hari mengundi, anda mungkin boleh mengaturkan pilihan baju yang ingin dipakai sewaktu keluar mengundi. Ia bukan sahaja untuk tampil lebih kemas dan menarik sewaktu mengundi, tetapi ia juga boleh menjadi satu usaha untuk mengelakkan mesej politik tersirat dalam gaya anda.
  2. Semak semula lokasi dan waktu saranan mengundi. Anda boleh memuat turun aplikasi khusus yang disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya, iaitu MySPR Semak. Melaluinya, pengguna boleh membuat semakan daftar pemilih selain turut mengetahuia lokasi tempat mengundi semasa pilihan raya.
  3. Bersedia dengan dokumen pengenalan diri. Umum mengetahui kad pengenalan atau MyKad adalah salah satu dokumen yang perlu ada. Namun selain MyKad, anda juga boleh menampilkan pasport, lesen memandu, dokumen pengenalan sementara atau resit laporan kehilangan kad pengenalan yang telah disahkan Jabatan Pendaftaran Negara sebagai bukti pengenalan diri.
  4. Serba ringkas. Elakkan daripada membawa barang-barang yang terlalu banyak dan menggunakan beg yang besar. Disebabkan jumlah orang awam yang ramai pada satu-satu masa di dalam pusat mengundi, ia berisiko mengalami insiden seperti penyeluk saku, barang tertinggal di sesuatu tempat dan lain-lain.
  5. Pastikan kuku di kedua-dua tangan sudah dirapikan dan dipotong pendek.

Sewaktu Menunggu Giliran Mengundi

Khusus untuk lokasi atau tempat mengundi yang mempunyai bilangan pengundi yang ramai, kadangkala giliran mengundi akan lebih panjang dan lama. Oleh itu, anda disarankan untuk bersiap sedia dengan bahan bacaan secara digital untuk mengisi masa yang terluang sambil menunggu giliran.

Contohnya, anda boleh membaca bahan-bahan yang lebih santai seperti novel dan cerpen fiksi di Cereka. Ia merupakan sebuah aplikasi yang memfokuskan kepada bahan bacaan berbentuk novel, cerpen dan juga certot (cerita kontot). Untuk mengaksesnya, anda boleh memuat-turun aplikasi Cereka di kedai atas-talian Android dan iPhone.

Antara penerbit yang sudahpun menawarkan barisan buku mereka di Cereka termasuklah: FIXI, Iman Publications, Karangkraf, Hilal Asyraf, The Patriots, Kata-Pilar, Biblio Press dan banyak lagi.

Ketika Berada Di Dalam Ruang Mengundi

Apabila masuk sahaja di dalam ruangan mengundi, pastikan anda menyerahkan telefon bimbit kepada petugas di stesen awal. Dan kemudian, serahkan kad pengenalan (MyKad) atau dokumen pengenalan diri kepada kerani pengundian pertama dan menunjukkan kedua-dua belah tangan untuk diperiksa.

Jangan terburu-buru selepas mencelupkan dakwat di tangan. Pastikan anda mengelap dan memadamkan dakwat sepenuhnya dari jari anda dengan kertas tisu. Ini supaya anda tidak mengotorkan kertas undi anda, sekaligus menyebabkan undi rosak.

Pengundi kemudiannya boleh bergerak ke petak undi dan tandakan ‘X’ pada hanya satu ruang kosong bersebelahan dengan nama dan simbol calon dalam kertas undi menggunakan pen yang tersedia jika ada. Pastikan dakwat pen telah kering sebelum dilipatkan semula.

Akhir sekali, masukkan kertas undi berkenaan ke dalam peti undi yang betul dan setelah selesai, anda boleh pergi menebus tawaran menarik di mana-mana restoran dan kedai makanan yang menawarkan promosi dan diskaun sempena PRN2023.

Harus diingatkan, undi anda bukan sahaja membantu menentukan pemimpin seterusnya. Undian anda adalah penting dalam membantu memutuskan rang undang-undang untuk negeri dan seterusnya untuk negera anda. Pilihan raya ini bukan hanya mengenai calon. Ini mengenai anda, undi anda dan kuasa anda untuk mencipta masa depan yang lebih baik.