Penuaan dan juga kedutan bukanlah satu perkara yang asing bagi semua individu. Hal ini kerana, ia selari dengan peningkatan umur yang mana semakin bertambah umur, semakin jelas akan kedutan mula muncul pada individu.
Namun, tidak semestinya ia tidak mempunyai cara untuk menghalang penuaan dan kemunculan kedutan ini. Pada masa sekarang, terdapat pelbagai cara dan alternatif yang telahpun ditawarkan di pasaran sama ada rawatan tradisional dan juga rawatan konvensional. Oleh sebab itu, maka tidak hairanlan mengapa ada orang yang kelihatan sepuluh tahun lebih muda atau sepuluh tahun lebih tua daripada orang yang sebaya.

Secara umumnya, kedutan adalah kompleks. Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya penuaan dan kedutan ini yang merangkumi perkara positif dan juga negatif. Namun, ia tidak menjadi satu masalah sekiranya anda ingin meminimumkan penampakan kedutan. Faktor yang dimaksudkan termasuklah:
- Umur – Apabila anda semakin tua, kulit anda secara semula jadi menjadi kurang anjal dan lebih rapuh. Pengeluaran minyak semula jadi yang berkurangan mengeringkan kulit anda dan menjadikannya kelihatan lebih berkedut. Selain itu, lemak di lapisan dalam kulit juga berkurangan sekaligus menyebabkan kulit mudah kendur dan garis dan celah kelihatan lebih jelas.
- Pendedahan kepada cahaya ultraungu (UV) – Sinaran ultraungu akan mempercepatkan proses penuaan semulajadi dan ia adalah punca utama kedutan awal. Pendedahan kepada cahaya UV merosakkan tisu penghubung kulit anda selain mengurangkan pertumbuhan serat kolagen dan elastin, yang terletak pada lapisan kulit yang lebih dalam (dermis). Tanpa tisu penghubung yang menyokong, kulit anda kehilangan kekuatan dan kelenturan dan akhirnya menyebabkan kedut sebelum waktunya.
Bercakap mengenai sinar matahari, defence tubuh yang paling penting untuk menghalang kedutan adalah sel pigmen. Hal ini kerana, kedutan berlaku akibat oleh pigmentasi yang melibatkan sinar matahari menembusi kulit sehingga merosakkannya apabila mencapai lapisan kulit yang lebih dalam.
2 Jenis Penuaan – Intrinsik Dan Ekstrinsik
Secara umumnya, terdapat dua jenis penuaan iaitu penuaan intrinsik dan ekstrinsik yang mana kedutan terhasil atas faktor gabungan kedua-dua jenis penuaan ni.
Penuaan intrinsik, atau kronologi, ialah proses yang ditentukan secara genetik yang tidak dapat dielakkan yang berlaku secara semula jadi. Penuaan intrinsik ditentukan oleh jam genetik individu setiap orang dan dipengaruhi oleh kesan degeneratif radikal bebas dan ketidakupayaan badan untuk memperbaiki kerosakannya dengan sempurna. Setakat ini, jenis penuaan ini biasanya bermula pada pertengahan 20-an kerana pada waktu itu pengeluaran kolagen seseorang mula perlahan.
Manakala penuaan ekstrinsik pula adalah penuaan yang disebabkan oleh persekitaran. Ia selalunya bertindak bersama-sama dengan proses penuaan biasa kepada penuaan kulit pramatang.

Tekanan Dan Ekspresi Muka Penyumbang Kepada Kedutan Dan Penuaan
Selain daripada kedutan biasa, ada juga jenis kedutan boleh memberi anda petunjuk tentang bahagian penting kesihatan anda. Ia termasuklah tentang tahap tekanan anda.
Tekanan adalah penyumbang utama kepada masalah kesihatan, dan ia juga cenderung menjadi punca berlakunya kedutan pada kulit sama ada di dahi, bahagian mata dan lain-lain. Kedutan dahi, khususnya, cenderung lebih mendalam pada orang yang mempunyai tahap tekanan tinggi kerana kita cenderung mengerutkan kening apabila kita tertekan.

Untuk pengetahuan anda, secara teknikal, mengehadkan ekspresi muka boleh mengehadkan kedutan di bahagian kulit wajah. Ini kerana, perlaksanaan ekspresi muka yang berulang adalah penyumbang kepada kedutan. Dalam kajian yang dilaksanakan oleh pakar, mimik muka yang sama dilakukan berulang kali selama bertahun-tahun boleh menyebabkan pembentukan otot secara kekal.
Sama ada setiap kali anda menjeling atau tersenyum, pergerakan otot dengan kerap ini boleh membawa kepada garis-garis halus dan kedutan. Dan apabila kulit semakin tua, ia kehilangan fleksibiliti dan tidak lagi dapat tumbuh semula di tempatnya dan seterusnya membentuk garis kedutan yang kekal pada kulit.