Ginkgo biloba adalah salah satu spesies pokok hidup tertua di dunia. Ia merupakan satu-satunya pokok purba yang terselamat dan masih wujud sejak ia mula ditemui sebelum munculnya zaman dinosaur di Bumi.

Untuk pengetahuan anda Ginkgo Biloba juga dikenali sebagai pokok maidenhair (spesies yang wujud pada zaman kini) yang mana ia merupakan spesies pokok yang berasal dari China. Ia adalah spesies hidup terakhir dalam ordo Ginkgoales, yang pertama kali muncul lebih 290 juta tahun dahulu.

Disebabkan ia sangat kuno, pokok ini turut digelar sebagai fosil hidup kerana Ginkgo Biloba telah ditanam bermula dari zaman awal sejarah manusia dan telah hidup antara 66 hingga 245 juta tahun dahulu.

Rupa Dan Bentuk Ginkgo Biloba

Jika dilihat secara kasar, rupa dan bentuk daun Ginkgo Biloba kelihatan seakan gabungan paku-pakis dan konifer.

Ia mempunyai ciri dua lobus yang tersendiri. Batang dan dahan pokoknya mempunyai tekstur yang agak berkulit dan sementara pada bahagian daun, ia berbentuk kipas dengan daun hijau yang mempunyai urat mencapah. Apabila tiba musim gugur, daunnya akan bertukar menjadi kuning terang.

Ginkgos adalah dioecious yang mana ia menampilkan pokok jantan dan betina yang berasingan. Kebiasaannya, rata-rata tapak semaian hanya menjual pokok jantan kerana pokok betina menghasilkan biji yang terbungkus dan apabila matang pada musim luruh, pokok tersebut menjadi tidak kemas dan mengeluarkan bau busuk yang berbahaya apabila jatuh ke tanah.

Kini, walaupun pokok maidenhair yang ditanam dilihat di seluruh dunia, namun ia bukanlah dari spesies yang sama dengan Ginkgo Biloba kerana pokok ini hanya boleh dijumpai di beberapa populasi semula jadi di China.

Sumber: Missouri Botanical Garden, Kew