Apakah mesin layan diri yang unik sepanjang hidup anda? Jika ya, apakah jenis penawaran yang hadir pada mesin layan diri tersebut?
Sebelum ini, terdapat beberapa jenis penawaran mesin layan diri yang telah hadir di pasaran. Ia termasuklah penawaran kosmetik, surat khabar, jambangan bunga, hadiah misteri dan banyak lagi.
Kini, muncul satu lagi mesin layan diri yang boleh anda cuba dan kunjungi di Malaysia iaitu mesin layan diri beg tangan yang pertama oleh Tracey. Melalui mesin ini, ia akan mengeluarkan beg tangan yang anda kehendaki selepas anda membuat pembayaran secara nirtunai menerusi kad debit atau kredit.

Bagi yang tidak mengetahui, Tracey merupakan jenama beg tangan tempatan yang juga memegang gelaran rekod kebangsaan kerana memiliki beg tangan dengan jumlah kocek (compartment) terbanyak. Direka khas untuk keperluan harian anda, ia mempunyai kocek yang dipadankan dengan baik untuk memastikan semua yang anda perlukan disusun dengan baik di dalam beg.

Sekiranya anda ingin mencuba pengalaman membeli beg tangan di mesin layan diri, mesin Tracey ini boleh didapati di Pavilion Bukit Jalil. Mesin layan diri menawarkan cara yang mudah dan cepat untuk pelanggan yang sedang dalam perjalanan, untuk segera merebut beg tangan pilihan mereka.
Menurut Tracey juga, ia juga merupakan pendekatan jualan inovatif yang mencerminkan kreativiti dan di samping menjadikan jenama mereka lebih komited untuk meneroka kaedah jualan yang inovatif untuk menarik pelanggan.
Selain boleh didapati melalui pembelian tanpa bersua, anda juga boleh kunjungi ke rangkaian kedai fizikal Tracey di rak gedung serbaneka seperti Parkson, 1 Utama Shopping Centre, Imago KK Times Square Shopping Mall dan Plaza Merdeka. Tracey juga mendedahkan bahawa jenama itu menyasarkan untuk membuka 5 cawangan bebas di Lembah Klang menjelang 2023 .