Carian
Coca-Cola, AEON Malaysia & Hiroyuki Industries Laksana Kempen Kumpul Dan Kitar Semula Botol PET
December 13, 2022 Lina Rosli

Coca-Cola Malaysia dengan kerjasama rangkaian pasar raya AEON Malaysia, serta syarikat pemprosesan dan pembuatan produk plastik Hiroyuki Industries telah menganjurkan kempen pengumpulan dan kitar semula botol polietilena tereftalat (PET).

Kempen kitar semula ini merupakan kempen kerjasama pertama antara ketiga-tiga syarikat, dan ia merupakan salah satu daripada inisiatif kelestarian yang termasuk di bawah Wawasan Dunia Tanpa Sisa Coca-Cola yang dilancarkan pada 2018.

Melalui kempen ini, ia hadir dengan matlamat untuk menangani isu sisa plastik global yang menumpukan kepada bidang utama termasuk: Reka Bentuk, Kumpul & Rakan Kongsi. Ia juga menekankan kepada individu akan kepentingan pengasingan dan nilai botol PET.

Untuk AEON Malaysia, kerjasama ini bukan sahaja selari dengan prinsip syarikat, tetapi juga turut menyumbang kepada komuniti tempatan. Oleh itu, Piagam Kelestarian AEON (ASC) ialah rangka tindakan yang dibangunkan untuk mencapai masyarakat yang mampan seiring dengan pertumbuhan AEON dan sejajar dengan kepentingan tanggungjawab korporat yang semakin meningkat.

Menurut Hiroyuki Industries pula, sebelum ini, mereka telah mengitar semula sehingga 550 juta unit botol PET terpakai dan mengubahnya menjadi 10,000 tan metrik resin PET (RPET) kitar semula setahun. Dan nilai ini masih lagi rendah jika dibandingkan dengan peratusan global.

Ini kerana, kadar kitar semula dalam kalangan rakyat Malaysia adalah yang paling rendah dalam kalangan negara ASEAN, di mana hanya 16% botol PET berjaya dikumpulkan untuk dikitar semula. Dan yang lebih membimbangkan, ia dianggarkan sebahagian besar sisa iaitu sekitar 63% botol PET masuk ke tapak pelupusan sampah.

Bagi anda yang berminat untuk mula kitar semula, berikut adalah enam pusat beli-belah AEON di Johor yang menyertai Kempen Recycling Fantastic:

  • AEON Mall Bandar Dato’ Onn
  • AEON Mall Bukit Indah
  • Aeon Permas Jaya
  • Taman Universiti AEON
  • AEON Mall Tebrau City
  • AEON Mall Kulaijaya

Kempen Hebat Kitar Semula akan berlangsung dari 10 Disember 2022 hingga 26 Februari 2023. Bagi pelanggan AEON yang ingin mengumpul botol PET, anda juga boleh mengitar semula sisa dan membuat pertukaran mata AEON serta produk Coca-Cola untuk setiap 1kg botol PET yang dihantar ke pusat membeli-belah AEON.

Komen