Carian
Malaysia Tersenarai Dalam 5 Negara Terbaik Bagi Anugerah Gold Circle – Dari Segi Tawaran Penginapan
December 13, 2022 Lina Rosli

Dengan pembukaan semula pelancongan antarabangsa di seluruh dunia, nampaknya Malaysia telah menawarkan servis penginapan yang terbaik kepada individu yang melawat negara ini.

Dan ini telah dibuktikan dalam penganugerahan yang dilaksanakan oleh Agoda menerusi Anugerah Gold Circle kepada lebih 2000 premis penginapan di 41 buah pasaran. Di dalam acara berkenaan, Agoda, mengumumkan pemenang-pemenang bagi Anugerah Gold Circle Agoda (GCA) tahunan ke-14 dan Malaysia telah muncul dalam senarai 5 negara terbaik bagi anugerah yang menjadi rebutan ramai.

Anugerah tahunan ini diberikan kepada premis penginapan yang berjaya membuktikan kecemerlangan dari segi nilai, harga, perkhidmatan dan fleksibiliti yang ditawarkan kepada tetamu. Hotel-hotel ini telah bekerjasama secara proaktif dengan Agoda dalam menetapkan tanda aras baharu bukan sahaja untuk mereka tetapi juga untuk industri.

Selain Malaysia, antara negara lain yang berjaya mengekalkan kedudukan teratas selama empat tahun berturut-turut adalah Thailand, diikuti oleh Taiwan yang melonjak ke tempat kedua, dan Jepun di tempat ketiga. Sementara itu, India memasuki senarai 10 terbaik buat kali pertama manakala Korea Selatan, Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina dan Vietnam mengekalkan kedudukan masing-masing dalam senarai sepuluh terbaik tersebut.

Selain itu, negara China mencatatkan jumlah premis penginapan tertinggi yang memenangi anugerah selama empat tahun berturut-turut, diikuti oleh Filipina, Thailand, Jepun, Taiwan, Maldives, Vietnam, Indonesia dan Korea Selatan. 

Berikut adalah kedudukan 10 negara terbaik yang telah memenangi anugerah dari Agoda:

  • Thailand – 246 premis penginapan
  • Taiwan – 209 premis penginapan
  • Jepun – 198 premis penginapan
  • Korea Selatan – 186 premis penginapan
  • Malaysia – 174 premis penginapan
  • Amerika Syarikat – 154 premis penginapan
  • Indonesia – 123 premis penginapan
  • Filipina – 107 premis penginapan
  • India – 95 premis penginapan
  • Vietnam – 90 premis penginapan
Komen