Kajian Dapati Gajah Akan Memilih Laluan Yang Bawa Mereka Ke Tempat Makanan Kegemaran
Lina Rosli
Berdasarkan kajian, bagi setiap keputusan pemilihan laluan sama ada kiri atau kanan, depan atau belakang, gajah akan mempertimbangkan jalan yang dipercayai mempunyai sumber makanan kegemaran mereka.
Penyelidikan ini dilakukan ke atas gajah yang tinggal di Afrika yang mana saintis menjejaki tabiat hidup gajah liar Afrika dengan menggunakan teknologi termaju, seperti imejan satelit dan sistem GPS terkini.

Hasil daripadanya mendedahkan bahawa gajah membuat keputusan yang dipertimbangkan tentang laluan mana yang perlu diambil berdasarkan keutamaan pemakanan mereka. Sebagai contoh, gajah jantan lebih suka berjalan di laluan yang mempunyai atau membawa kepada tumbuhan seperti Combretum dan Cissus yang hanya dimakan oleh kumpulan gajah jantan sahaja.
Sebaliknya, kumpulan keluarga gajah yang mempunyai kelompok anak gajah dan gajah betina pula biasanya akan berjalan di laluan yang mempunyai Commiphora dan Terminalia. Akhir sekali, apabila kedua-dua kumpulan bergerak bersama-sama, mereka memilih laluan yang mempunyai atau menuju ke kawasan di mana kedua-dua makanan pilihan tersedia.

Dengan pemahaman yang lebih jelas mengenai cara gajah mengakses makanan kegemaran mereka, ia sedikit sebanyak boleh membantu pengurus pemuliharaan menumpukan sumber makanan untuk gajah. Malah, ia juga turut membantu melindungi kepelbagaian tumbuhan dalam taman dan zon penampan.
Selain itu, menjelaskan lokasi dan komposisi spesies tumbuh-tumbuhan tertentu dalam komuniti tumbuhan juga boleh membantu saintis untuk mengetahui lebih lanjut tentang kesan pencerobohan manusia dan penyingkiran tumbuh-tumbuhan terhadap pergerakan gajah.
Sumber: Earth