Michelin, DHL Express Memperlihatkan Prototaip Tayar Anti-Pancit
Lina Rosli
Baru-baru ini di Singapura, jenama tayar terkemuka Perancis, Michelin bersama dengan rakan kerjasama DHL Express, telah hadir dengan inovasi tayar anti-pancit yang diperbuat daripada plastik yang dikitar semula.
Pengenalan inovasi tayar ini dilihat bukan sahaja bagi membantu mengurangkan masalah lambakan plastik yang tidak digunakan, tetapi juga bertujuan untuk mengurangkan risiko tayar mudah pecah sekaligus menyebabkan kenderaan mula hilang kawalan sehingga tercetusnya kemalangan.
Untuk pengetahuan anda, sebelum ini, pada tahun sekitar 2012 dan 2015, kajian mendapati bahawa 20 peratus daripada semua tayar yang dibuang setiap tahun adalah tayar yang bocor atau haus tidak sekata kerana ia tidak mempunyai jumlah tekanan udara yang betul.

Berdasarkan kes ini, Michelin berkata, pertukaran kepada tayar tanpa udara boleh menjimatkan sehingga 200 juta tan sisa setiap tahun.
Walau bagaimanapun, menurut Michelin, tayar ini masih lagi di peringkat prototaip dan dijangka akan mula menjual tayar anti-bocor ini menjelang tahun 2024.
Sebelum mula diuji secara besar-besaran di Singapura, tayar keluaran Michelin ini dilihat telah mula digunakan dan diuji di beberapa negara lain. Antaranya, Michelin telah melancarkan tayar prototaip yang mirip kepada tayar pada van DHL dalam satu acara di Montreal, Kanada pada tahun 2019 selain turut mempamerkan tayar itu pada September 2021 di pameran permotoran di Munich, Jerman.
Sumber: BH