Pernahkah anda perasan, air teh sering meninggalkan kesan yang kelihatan seperti kotoran setiap kali selepas digunakan?
Lebih-lebih lagi sekiranya anda menggunakan bekas warna putih atau jenis plastik untuk menyediakan air teh panas secara konsisten, anda akan mendapati bekas tersebut menampakkan warna coklat yang kelihatan seperti bekas tidak dibasuh dengan bersih.

Mengapa Ia Boleh Terjadi?
Sebab utama yang menyebabkan bekas anda kelihatan kotor selepas menyediakan air teh adalah disebabkan kehadiran tanin atau asid tannic yang memberikan warna pada teh.
Tanin atau tannin merupakan satu sebatian bahan kimia yang terdapat dalam kebanyakan tumbuh-tumbuhan. Di dalamnya juga mengandungi molekul polifenol yang banyak yang mana ia bukan sahaja memberikan warna pada minuman tetapi juga menyumbang kepada rasa pahit pada teh.
Bercakap mengenai fenol lagi, ia digunakan sebagai agen pewarna seperti dalam penyamakan kulit dan dalam membuat dakwat. Oleh sebab itu, akan ada kesan kotoran yang tertinggal di dalam cawan sekiranya digunakan secara kerap.

Bagaimana Cara Untuk Menghilangkan Kesan Kotoran Teh Pada Cawan?
Terdapat beberapa cara yang boleh anda lakukan. Salah satu cara yang mudah untuk menghilangkan kesan kotoran teh ini adalah dengan menggunakan soda penaik.
Sebagai contoh, teh hitam mempunyai pH 4.9, bermakna ia sedikit berasid. Walaupun tanin merangkumi pelbagai jenis sebatian, namun semuanya cenderung mempunyai asid. Oleh itu, untuk mengeluarkannya atau menghilangkannya dari cawan kesayangan anda adalah dengan cara meneutralkannya soda penaik.
Hanya buat campuran soda penaik dan air, gosokkannya pada pinggan mangkuk anda yang mempunyai kesan kotoran. Kemudian, biarkan selama 20 minit atau lebih, dan kemudian lapkannya dengan span. Anda akan melihat perubahan pada warna cawan yang mana ia akan kelihatan seperti warna asal.