Selain menjadi antara bunga yang popular di dunia, bunga matahari juga merupakan salah satu bunga yang indah dan membangkitkan aura positif sekiranya melihatnya. Di tambah lagi dengan kehadiran kelopak bunga yang berwarna kuning, ia sedikit sebanyak membantu membangkitkan perasaan segar dan ceria kepada individu sejurus sahaja melihatnya.
Bagi yang tidak mengetahui, bunga Matahari sinonim dengan perasaan yang merujuk kepada nilai setia dan umur panjang. Malah, bunga mataini juga dikenali sebagai bunga gembira dan ianya sesuai dijadikan sebagai hadiah buat individu yang ingin diraikan.

Bunga matahari atau nama saintifiknya Helianthus Annuus ialah sejenis pokok semusim dalam keluarga Asteraceae. Ia banyak dijumpai di negara-negara barat kerana bunga ini berasal dari benua Amerika.
Dari segi bentuknya, bunga matahari mempunyai kepala atau mahkota yang besar jika dibandingkan dengan bunga yang lain. Dan yang menariknya, biji benih bunga matahari ini juga boleh dimakan sebagai makanan ringan atau untuk pengeluar pula, mereka akan memprosesnya menjadi minyak masak.
Tahukah Anda Bunga Matahari Merupakan Antara Bunga Yang Tertinggi Di Dunia?
Bercakap mengenai bunga matahari lagi, ia adalah satu bunga yang unik. Bunga matahari mempunyai akar panjang yang memerlukan ruang untuk menjalar dan membesar. Dan untuk saiz purata bunga matahari, anda mungkin akan menjumpai jenis bunga bersaiz sederhana iaitu sekitar 3 kaki atau 0.9 meter.
Namun, tahukah anda pada tahun Ogos 2014 yang lalu, setangkai bunga matahari telah dijumpai di Jerman oleh Hans-Peter Schiffer. Beliau mempunyai ladang bunga matahari di Karst, Nordrhein Westfalen, Jerman.
Menurut Guinness Book of World Records, Schiffer telah memegang rekod dunia untuk tiga kali berturut-turut pada 2009 (7.9 meter), 2012 (8.2 meter) dan 2013 (8.8 meter).