Penyelidik Menemui 2 Mineral Baharu Dalam Meteorit Besar Yang Dijumpai Di Somalia

December 27, 2022
Uncategorized

Lina Rosli

Satu pasukan penyelidik telah menemui dua mineral baharu yang belum pernah dilihat di Bumi dalam meteorit seberat 15 tan yang ditemui di Somalia. Bagi yang tidak mengetahui, meteorit tersebut merupakan meteorit kesembilan terbesar yang pernah ditemui.

Di dalam laporan meteorit yang diterbitkan, dua mineral tersebut dikenali sebagai elalit (elaliite) dan elkinstantonit (elkinstantonite). Nama-nama ini diberi berdasarkan nama meteorit yang digelar “El Ali” kerana ia ditemui berhampiran bandar El Ali, di wilayah Hiiran di Somalia.

Berdasarkan perkongsian ahli geologi dan juga pasukan penyelidik dari Jabatan Sains Bumi & Atmosfera di University of Alberta, keadaan komposisi bagi mineral baharu yang ditemui ini berbeza dengan batuan yang pernah ditemui sebelum ini. Setakat ini, penyelidik masih lagi meneliti keadaan mineral tersebut untuk menentukan maklumat lanjut tentang keadaan dalam meteorit apabila ia terbentuk.

Selain daripada dua mineral yang dikesan ini, penyelidik turut menyatakan bahawa terdapat potensi untuk mereka menemui mineral baharu yang ketiga. Namun, ini bergantung kepada berapa banyak sampel yang penyelidik dapatkan daripada meteorit besar itu.

Sumber: University of Alberta, CNN

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd