Menjelang tahun baru yang bakal tiba ini, pasti ramai dalam kalangan anda merancang untuk mengubah suai beberapa bahagian atau ruang di dalam rumah bagi memberikan suasana yang lebih segar dan lebih selesa untuk diri dan keluarga.
Pengubahsuaian ini mungkin melibatkan sebahagian besar rumah ataupun hanya bahagian kecil sahaja. Namun, pemilihan dan pemadanan perabot dan warna cat yang bersesuaian adalah penting kerana ia akan memberikan impak yang besar dari segi hasil akhir untuk rumah anda.
Oleh itu, dengan adanya teknik 60-30-10, ia sedikit sebanyak membantu anda mendapatkan kombinasi warna yang mudah selain turut membantu anda menyusun skema warna yang menepati kriteria pilihan anda.

Cara Menggunakan Teknik 60-30-10 Untuk Dekorasi Rumah
Apa itu teknik 60-30-10? Ia adalah perkadaran 60 peratus + 30 peratus + 10 peratus yang bertujuan untuk memberi keseimbangan kepada warna yang digunakan dalam mana-mana ruang.
Untuk bahagian 60 peratus, ia adalah warna utama untuk bilik anda. Kemungkinan besar 60 peratus di ruang tamu adalah sebahagian besar dinding anda ataupun kepingan aksen besar seperti permaidani, dan mungkin sofa.
Ideanya ialah 60 peratus ini akan memberikan warna yang menambat ruang dan juga berfungsi sebagai latar belakang untuk apa yang akan datang.

Bahagian 30 peratus pula ialah warna kedua. Anda akan menggunakan separuh daripada warna ini sebagai warna utama anda. Warna ini biasanya melibatkan langsir, kerusi aksen, linen katil, perabot, selain turut boleh digunakan untuk mencipta dinding aksen. Ideanya ialah bahagian ini akan menjadi warna sekunder yang menyokong warna utama.
10 peratus pula ialah warna akses yang melengkapkan hasil susun atur rumah anda. Untuk ruang tamu, bahagian ini cenderung ditambah pada bantal, aksesori hiasan dan karya seni anda. Sementara bilik tidur, ini boleh menjadi bantal aksen di atas katil, lampu di atas meja sisi katil dan lilin di atas meja malam.

Mudah bukan? Dengan menggunakan peraturan 60-30-10, ia boleh menjadikan pemilihan warna menjadi mudah dan membantu anda mencapai keseimbangan dalam menghias.
Akhir sekali, bagi memilih tiga warna yang bersesuaian untuk ruang anda, gunakan skema warna berdasarkan roda warna. Selain itu, anda juga boleh memilih atau mengambil warna daripada cetakan fabrik untuk padanan yang lebih mudah dan pantas.