Carian
Permulaan Yang Terus Berakhir
June 14, 2022 Penulis Kacak

Semua rasa sedih dan duka di dalam hati ini harus aku luahkan. Sampai bila patut aku pendam? Kalau kerap pendam, aku yakin ia tidak akan ke mana-mana dan akan kekal menjadi satu seksaan kepada diri aku sendiri. Sejak kebelakangan ini, aku kerap fikir bukan-bukan dan kerap rasa tidak senang. Aku tidak keseorangan, aku ada ibu bapa, aku ada kawan-kawan, aku berdoa pada tuhan. Tapi, kenapa aku masih rasa tidak sedap hati dan tidak tenang?

Aku sudah bertahun berseorangan, dari segi berpasangan. Aku tidak ada peneman hidup yang setia atau yang mencintai aku. Aku sudah cuba, aku sudah usaha, tawakal dan ikhtiar. Apa lagi? Masih tiada siapa dapat menerima aku. Aku tidak pernah berhenti mencari, tetapi apabila asyik ditolak dan tidak diendahkan siapa sahaja tidak rasa seakan murung? Murung ke? Adakah apa yang aku rasa ini murung? Aku rasa tidak! Sebab aku kadang-kala bahagia sahaja. Cuma bab cinta, aku memang lemah.

Aku baru-baru ini mengenali seorang gadis, di mata aku sekali pandang aku rasa dialah yang satu. Pada saat ini, aku sudah mengenali dia sekitar enam bulan. Ke lima atau empat bulan? Entahlah, bila sedih aku mudah lupa.

Pada awal pengenalan, aku seronok dengan dia. Dia balas mesej aku, dia beri maklum balas pada siaran media sosial aku, dia komen Stories aku dan dia senyum untuk aku. Setiap mesej yang dia hantar, walaupun hanya Hai – aku rasa gembira dan tersengih seorang diri.

Boleh kata macam sudah ada chemistry, masing-masing sudah cerita kisah antara satu sama lain. Aku pun sudah ajak untuk berjumpa. Pada suatu hari, selepas seronok berbual, ketawa, kongsi gambar dan sebagainya – aku dan dia pun ucapkan bye-bye

Aku tahu dia sibuk mencari rezeki untuk keluarga. Dia satu-satunya anak perempuan sulung dan ayah dia sudah didik dia apabila sudah capai usia 20-an semuanya sendiri. Komitmen sendiri. Cari duit sendiri. Urusan rumah ibu bapa pun dia yang kena. Ya lah, mana tidaknya – adik-beradik dia ada sudah bekerja dan berkahwin. Ada keluarga. Sebab dia belum kahwin, dia kena belajar tanggungjawab.

Aku faham.

Tetapi, apa yang aku tidak faham adalah kenapa terus senyap? Ada sekali-sekala sahaja dia balas mesej. Itu pun sebab aku lihat Stories dia. Lepas itu terus senyap. Kata hari itu, ingin jumpa. Baiklah, kita dalam keadaan perintah berkurung sampai entah bila jadi aku faham. Cuma kenapa tiada lagi tegur sapa, tiada lagi kata hai dan hanya kali terakhir perbualan paling indah bagi aku diakhiri dengan bye. 

Aku yakin aku tidak lakukan apa-apa kesalahan. Jadi, macam mana lagi aku hendak menangkan hati dia? Aku tidak ingin mengalah, aku suka dia, aku seronok berbual dengan dia dan aku suka tengok senyuman dia. Adakah ini nasib aku? Adakah ini nasib aku? Adakah ini nasib aku?

Apa patut aku buat sekarang? Cuba tegur lagi dan menantikan ruangan mesej yang tidak terbalas? Cari baru? Sedihnya. 

Nampaknya aku perlu cuba bersabar lagi. InShaAllah suatu hari nanti jika aku yakin masih ada harapan – aku akan menangkan hati dia.

Komen