Mulakan tahun 2022 anda dengan mengambil berat akan kepentingan penjagaan kesihatan dan diri secara keseluruhan.
Tidak dinafikan, sebelum ini ramai individu yang sering menyatakan bahawa mereka mempunyai kesukaran untuk mengutamakan kesihatan lebih-lebih lagi individu dalam kalangan golongan yang bekerjaya tidak kira penjagaan fizikal mahupun mental.
Penjagaan diri dan juga kesihatan ini tidak hanya tertumpu kepada amalan pemakanan dan bersukan semata, tetapi ia sebenarnya merangkumi apa sahaja yang anda lakukan untuk menjaga diri anda supaya anda boleh kekal sihat secara fizikal, mental dan emosi.
Bukan itu sahaja, penjagaan diri juga boleh kelihatan berbeza untuk semua individu. Apa yang penting adalah penjagaan diri ini haruslah mengutamakan tingkah laku yang menggalakkan kesihatan dan kebahagiaan untuk diri anda.
Tanya Kepada Diri, Mengapa Sesuatu Tabiat Itu Baik Atau Buruk?
Menurut Yayasan Penjagaan Diri Antarabangsa, elemen penting dalam penjagaan diri melibatkan keupayaan untuk memahami perkara yang dinasihatkan oleh pakar penjagaan kesihatan.
Contohnya, anda tidak hanya mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk kepada diri, tetapi memahami sebab mengapa pentingnya untuk mengekalkan tabiat yang baik untuk diri anda.
Jadi, jika anda melihat diri anda memilih untuk mengamalkan gaya pemakanan yang sihat, maka ketahui mengapa anda melakukan sedemikian dan untuk apa anda melakukannya.z
Terokai Lebih Lanjut Tentang Indeks Kesihatan
Secara amnya menyedari tahap kesihatan anda sekarang sangat membantu ke arah kesejahteraan, kesedaran diri dan juga harga diri. Melibatkan diri dalam pemeriksaan kesihatan yang kerap adalah penting, dan begitu juga dengan mengetahui cara mengekstrak dan menganalisa data dari nombor atau nilai tersebut.
Sebagai contoh BMI, ia mempunyai kelemahan yang besar kerana ia tidak mengambil kira kandungan lemak badan berbanding otot yang juga dikenali sebagai tisu tanpa lemak.
Hal ini kerana, untuk segelintir individu, mereka mempunyai berat otot lebih banyak daripada lemak yang mana ia hadir dengan kapasiti otot yang lebih padat. Namun, apabila dikira menggunakan formula berat semata, ia secara tidak langsung menjadikan orang dengan berat otot yang tinggi sebagai obesiti walhal ia tidak mengandungi lemak badan yang banyak.
Praktikkan Gaya Pemakanan Dan Amalan Senaman Yang Bersesuaian
Seperti yang anda tahu, senaman intensiti sederhana mempunyai banyak manfaat kesihatan, seperti melegakan bahu anda yang sakit ketika menaip atau melegakan minda selepas seharian bekerja.
Untuk memasukkan aktiviti senaman ke dalam jadual anda, sediakan peringatan kalendar untuk berjalan kaki pada waktu pagi, atau bersantai di padang pada hujung minggu.
Menjadi aktif bukan sahaja mengurangkan risiko penyakit anda termasuk penyakit jantung, diabetes, beberapa kanser, dan juga demensia, tetapi ia juga membantu anda menguruskan keadaan sedia ada dan menikmati tidur yang lebih lena dan lebih teratur.
Selain itu, anda juga perlu mengambil berat tentang pengambilan makanan kerana ia adalah antara langkah penjagaan diri yang bijak. Pelan makanan yang baik termasuk waktu anda makan, bagaimana ia disediakan serta apa yang anda akan makan.
Jadilah Pegawai Keselamatan Anda Sendiri
Selain amalan yang berimpak besar, perhatikan juga aktiviti harian anda seperti:
- Berhenti merokok untuk kesihatan paru-paru
- Mengamalkan pemakaian SPF untuk melindungi kulit
- Memakai topi keledar ketika menunggang motosikal bagi mengelakkan kesan serius kepada tubuh
- Menetapkan sesi membaca setiap malam untuk minda lebih aktif
- Menerokai kemahiran baru untuk membantu diri menjana lebih banyak pengetahuan
Selain itu, pastikan anda sentiasa memberikan yang terbaik untuk diri anda selain menjadi individu yang bertanggungjawab kepada diri sendiri. Ikuti apa yang telah dinasihatkan oleh doktor untuk cadangan khusus untuk anda.