Lina Rosli Diterbitkan 5 January 2022

Apa Itu PandaPro – Patutkan Anda Melanggannya?

Bagi anda yang kerapkali melakukan pesanan melalui aplikasi penghantaran FoodPanda, pastinya anda akan mengharapkan beberapa kelebihan yang akan memberi manfaat kepada anda. Ia termasuk caj penghantaran percuma ataupun diskaun dan potongan harga untuk hidangan yang dipesan dan banyak lagi.

Tidak dinafikan sejak akhir-akhir ini, promosi dan tawaran diskaun di kebanyakan platform ini sudah semakin berkurangan dan tidak begitu menarik perhatian anda. Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan pengguna mula melanggan beberapa pas atau baucar yang mampu memberikan kelebihan sewaktu pembelian.


Jika di FoodPanda, pas bulanan yang ditawarkan adalah PandaPro yang mana ia boleh digunakan untuk pembelian makanan dan minuman serta barangan runcit melalui PandaMart.

Apa Itu PandaPro?

Untuk PandaPro, ia merupakan pelan langganan bulanan yang menawarkan beberapa kelebihan kepada pengguna bergantung kepada syarat promosi yang disediakan.

Sekiranya anda melanggan PandaPro, anda boleh mendapatkan sama ada caj penghantaran percuma apabila pesanan yang dipesan mencapai had pembelian minima.

Selain itu, anda juga boleh menikmati faedah diskaun seperti anda boleh menebus potongan sebanyak 5% tambahan tanpa had untuk pesanan ambil sendiri (pick-up) tanpa memerlukan anda mencapai had pembelian minimum.

Ia akan ditambah secara automatik di dalam setiap pesanan anda selain ia juga boleh digabungkan dengan diskaun sedia ada pada platform foodpanda, melainkan dinyatakan sebaliknya.


Tawaran Yang Boleh Dinikmati Menggunakan PandaPro

Bagi pengguna pertama pas langganan PandaPro, anda akan menerima baucar permulaan penggunaan yang menawarkan diskaun RM15 untuk perbelanjaan minima RM65.

Lain-lain tawaran termasuklah:

  • Caj penghantaran percuma sebanyak 12 kali sebulan dengan belanja minima RM25
  • Potongan 15% ke atas untuk pembelian di lebih 1000 kedai terpilih tanpa had
  • Diskaun 20% untuk perbelanjaan di kedai atau Shops dengan belanja minima RM45 sebanyak 2 kali
  • Tawaran sempena makan di kedai untuk kedai makan terpilih termasuk Chatime, Hadramot dan banyak lagi.

Menarik? Untuk pengetahuan anda, pas langganan bulanan PandaPro ini ditawarkan pada harga RM14.90 sebulan. Tetapi jika anda ingin melanggan selama 6 bulan, anda boleh jimat sehingga 55% dengan harga langgan hanya RM81 untuk 6 bulan.

Berbaloikah Anda Melanggan PandaPro?

Secara umumnya, pas langganan bulanan ini amatlah sesuai jika anda sering menggunakan dan menempah makanan di aplikasi FoodPanda kerana kelebihan langganan ini dilihat lebih memfokuskan kepada caj penghantaran sahaja.

Untuk diskaun tambahan lain, ia tidak terbuka untuk semua kedai yang tersenarai di dalam aplikasi. Jadinya, ia tidak membantu mengurangkan kos pembelian untuk sesetengah pesanan yang dilakukan. 

Bagi anda yang ingin melanggan pas bulanan ini, pastikan anda menggunakannya dengan sebaiknya untuk menikmati segala kelebihan yang ditawarkan.