Ketika bakal ibu sedang menantikan kelahiran anaknya, kesihatan kedua-dua ibu dan anak haruslah menjadi keutamaan namun terdapat juga situasi yang boleh membuat keduanya berada di dalam bahaya.

Hal ini termasuklah kehadiran penyakit yang berbahaya seperti Praeklampsia, atau keadaan yang lebih teruk lagi iaitu Eklampsia. 

Apa Itu Eklampsia?

Eklampsia ialah permulaan sawan untuk wanita yang sedang hamil dan merupakan komplikasi teruk bagi praeklampsia.

Praeklampsia lazimnya berlaku sewaktu fasa antenatal, lebih-lebih lagi ketika si ibu sedang berada di trimester ketiga kehamilan mereka. 80% daripada sawan eklampsia berlaku ketika proses melahirkan anak atau dalam jangka masa 48 jam selepas melahirkan anak. 

Walau bagaimanapun, menurut statistik, kelaziman kes praeklampsia dan eklampsia berlaku adalah sebanyak 4.6% dan 0.3%. 

Di Malaysia, eklampsia mewakili 6% daripada punca kematian para ibu pada tahun 2020 dan mengambil tempat keempat bersama kelahiran luar rahim (ectopic pregnancy) selepas obstetric embolism, postpartum haemorrhage dan gestational hypertension with significant proteinuria


Untuk pengetahuan anda, eklampsia merupakan sejenis penyakit yang boleh terjadi tanpa tanda gejala yang jelas namun, ia masih dapat dikesan melalui pemeriksaan berkala demi memastikan para ibu dapat melalui proses kelahiran yang selamat.

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Nor Elyana Noordin berkongsi bahawa Praeklampsia ialah sebuah komplikasi kehamilan yang terjadi disebabkan oleh tekanan darah tinggi serta petanda kerosakan pada organ lain, yang selalunya berlaku di buah pinggang yang mana ia merembeskan proteinuria.

Praeklampsia juga turut disebabkan oleh pembentukan salur darah yang tidak normal dalam plasenta dan saluran darah si ibu. Namun begitu, punca sebenarnya masih belum dapat dikenal pasti sehingga ke hari ini. 

Simptom Atau Gejala Praeklampsia

Dari sudut klinikal, eklampsia dapat dielakkan dengan rawatan yang diberikan pada masa yang tepat, serta melalui pemeriksaan berkala kerana terdapat tanda gejala dan parameter klinikal yang dapat membantu untuk menghindari komplikasi praeklampsia yang lebih teruk. 

Antara pemantauan yang perlu dilakukan termasuklah:

  • Selidiki tekanan darah
  • Pemeriksaan darah
  • Ujian protein urin untuk memastikan kesihatan ibu dan bayi yang bakal dilahirkan sentiasa berada di tahap yang baik.

Jika bacaan tekanan darah tinggi dan masih tidak boleh dikawal walaupun selepas mengambil ubat-ubatan secara optimal atau bacaan keputusan ujian darah adalah tidak normal, bayi di dalam kandungan harus dilahirkan supaya praeklampsia tidak akan menjadi lebih teruk dan bertukar ke eklampsia.

Walaupun praeklampsia boleh berlaku tanpa sebarang tanda gejala, bacaan tekanan darah harus diberi perhatian ketika wanita hamil sedang menjalani pemeriksaan antenatal.

Tanda gejala yang juga boleh berlaku apabila praeklampsia menjadi semakin teruk ialah:

  • sakit kepala yang keterlaluan
  • masalah penglihatan
  • sakit di bawah tulang rusuk
  • loya teruk dan muntah-muntah
  • berat badan naik secara mendadak 
  • bengkak (oedema) pada wajah atau tangan. 

Siapa Yang Berisiko Mengalami Praeklampsia? 

Antara golongan yang berisiko mengalami masalah praeklampsia adalah:

  • pesakit kencing manis
  • individu dengan tekanan darah tinggi
  • pesakit buah pinggang

Faktor lain termasuklah:

  • kehamilan pertama
  • sejarah keluarga yang mengalami prakelampsia
  • berusia lebih 40 tahun
  • mempunyai jarak 10 tahun dari kehamilan sebelumnya
  • hamil dengan lebih dari seorang bayi (kembar atau kembar tiga)
  • bacaan indeks jisim tubuh (BMI) 35 dan keatas

Berdasarkan perkongsian, Dr Wong Yen Shi, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari SMCV, terdapat risiko sebanyak 15% untuk seseorang wanita mendapat praeklampsia sewaktu kehamilan kedua jika beliau mengalami praeklampsia sewaktu kehamilan pertamanya.

Ada juga pakar yang mengatakan bahawa penggunaan Aspirin boleh dilakukan untuk mengelak atau melambatkan praeklampsia berlaku. Selain itu, bersenam dan mengamalkan diet seimbang adalah penting untuk kesihatan secara amnya, namun ia tidak dapat menghalang praeklampsia dari berlaku.


Bolehkah Praeklampsia Dan Eklampsia Dirawat? 

Boleh. Rawatan yang paling berkesan untuk merawat praeklampsia adalah dengan cara melahirkan bayi tetapi jika usia kandungan masih belum mencukupi, keadaan ini boleh dikawal melalui ubat darah tinggi, ujian darah dan ujian protein urin serta pemeriksaan berkala untuk memantau keadaan ibu dan bayi. 

Namun, sekiranya usia kandungan sudah mencecah 37 minggu atau lebih, bayi boleh dilahirkan melalui kaedah induksi kelahiran atau pembedahan caesarean.

Bagi bakal ibu yang usia kandungan belum mencecah 37 minggu tetapi sudah mengalami komplikasi praeklampsia, mereka perlu melahirkan anak dengan segera.

Melahirkan anak dan plasenta merupakan cara terbaik bagi merawat praeklampsia. Selain itu, magnesium sulfat juga digunakan untuk mengelak dan merawat eklampsia.

Kesannya Eklampsia Ke Atas Perkembangan Bayi

Memandangkan penyakit ini berpunca daripada plasenta, praeklampsia boleh menghalang bayi dari mendapat bekalan darah yang mencukupi sekaligus mengakibatkan bayi lahir dalam keadaan saiz kecil yang juga dikenali sebagai fetal growth restriction kerana ia tidak dapat membesar secara normal di dalam rahim.

Praeklampsia dan komplikasinya boleh meningkatkan peluang untuk mendapat kelahiran pramatang dan antara komplikasi yang boleh dialami oleh bayi pramatang termasuklah:

  • celebral palsy 
  • masalah pembelajaran
  • masalah pemakanan atau usus 
  • gangguan penglihatan atau pendengaran

Meskipun pengalaman hamil dan melahirkan anak adalah berbeza bagi setiap ibu, cara terbaik untuk menghindari praeklampsia seterusnya eklampsia adalah dengan cara diagnosis awal.

Penjagaan pranatal dan postnatal adalah kunci utama. Pesakit harus menjalani pemeriksaan yang konsisten dan harus memberitahu doktor jika mereka mengalami sebarang simptom baru untuk memastikan mereka dapat melahirkan anak dengan selamat.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pusat Perubatan Sunway Velocity, anda boleh kunjungi dan lawati laman rasmi Sunway Medical Velocity.