Irzan Nawkhi Diterbitkan 7 January 2022

Azam 2022 – Teknik Pomodoro Untuk Bekerja Lebih Pantas

Hidup adalah terlalu singkat untuk buat benda dengan lambat. Jika anda merasakan tahun 2022 ini anda perlu berubah menjadi lebih baik, dan berhasrat untuk menyiapkan kerja dengan lebih cepat, terdapat satu teknik untuknya iaitu teknik Pomodoro.

Teknik Pomodoro merupakan teknik bagi mengoptimasikan waktu kerja anda. Secara asasnya, anda hanya perlu bekerja selama 25 minit, kemudian berehat selama 5 minit. Selepas 5 minit, anda akan terus bekerja selama 25 minit, dan berehat juga selama 5 minit. 

Teknik yang dicipta oleh Francesco Cirillo pada lewat tahun 1980 ini mungkin kedengaran tidak masuk akal. Mana mungkin karangan panjang dapat disiapkan dalam 25 minit. Atau mungkin sewaktu melakukan pengaturcaraan, tidak mungkin 25 minit mampu menyiapkan kesemuanya. 

Gambar dari Marco Verch - https://www.flickr.com/photos/149561324@N03/26513161347

Akan tetapi, dalam teknik Pomodoro ini terdapat beberapa rutin yang perlu dilakukan. Sebelum memulakan kerja anda, penting untuk anda 

  1. Menetapkan apa yang akan dilakukan dalam tempoh 25 minit (dan perlu realistik)
  2. Memulakan pemasa selama 25 minit
  3. Lakukan kerja anda sepantas mungkin. Sebolehnya jangan terima/layan sebarang gangguan seperti panggilan telefon, panggilan rakan sekerja. Fokus untuk kerja tersebut.
  4. Ambil waktu rehat selama 5 minit apabila 25 minit berlalu. Dan lihat jika kerja-kerja anda telah disiapkan. Dalam waktu ini juga anda boleh melakukan panggilan, pergi ke tandas, dan bermacam lagi.
  5. Jika belum siap kerja/ atau jika masa tidak mencukupi, teruskan langkah 2 dan mulakan semula pomodoro anda. 
  6. Ambil rehat lebih panjang (10-20minit) apabila anda telah melakukan 4 sesi Pomodoro / apabila 2 jam telah berlalu. 

Apabila anda telah lengkap melakukan kesemua ini, dan mengamalkannya, sedikit sebanyak anda akan dapat tahu mengagak berapa masa yang anda ambil bagi menyiapkan sesuatu tugasan. Malah, lebih baik juga anda mencatat masa diambil, supaya anda juga dapat merancang tugasan anda. 

Anda boleh menetapkan pemasa anda menggunakan jam yang sedia ada, baik ditangan, mahupun di telefon anda. Malah, terdapat sesetengah aplikasi untuk komputer yang turut menyediakan pemasa ‘Pomodoro’ ini. Selamat mencuba.