Persatuan Hipertensi Malaysia dan Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia telah menubuhkan Kumpulan Kerja Penyahsarafan Renal Malaysia (MyRDN).

Mereka telahpun hadir dengan kertas konsensus mengenai renal denervation atau Penyahsarafan Renal. Ia merupakan garis panduan untuk pakar-pakar penjagaan kesihatan mengenai penggunaan prosedur ini dalam merawat penyakit hipertensi.

Untuk pengetahuan anda, hipertensi adalah satu masalah yang serius bagi negara Malaysia yang mana mana 3 daripada 10 rakyat Malaysia mengalami tekanan darah tinggi, dan hanya separuh daripada mereka yang menyedari bahawa mereka menghidap penyakit tersembunyi ini.


Selain itu, 90% daripada pesakit yang menyedari mereka menghidapi hipertensi mengambil ubat-ubatan dan hanya separuh dapat mengawal tekanan darah mereka dengan baik. Ini bermakna kira-kira 1.4 juta rakyat Malaysia menghidap tekanan darah tinggi tidak terkawal – sama ada kerana tidak sedar mereka menghidap penyakit ini atau tidak mendapat terapi yang optimum.

Kelebihan Penyahsarafan Renal – Bagaimana Pesakit Hipertensi Dapat Menggunakannya?

Penyahsarafan renal berfungsi dalam membantu merawat sesetengah pesakit hipertensi. Sebagai contoh, mereka yang mengalami hipertensi rintangan, sering tidak dapat mematuhi rutin pengambilan ubat-ubatan walaupun telah menerima nasihat dan kaunseling, atau mengambil pelbagai jenis ubat-ubatan untuk penyakit-penyakit komorbiditi lain.

Apa yang dilakukan penyahsarafan renal adalah ia menyasarkan gelombang frekuensi radio pada saraf-saraf simpatetik renal (buah pinggang) untuk mengurangkan aktivitinya yang menyumbang kepada masalah hipertensi. Ia dijalankan di bawah anestesia dan sedatif, dan pesakit biasanya dibenarkan pulang sehari selepas menjalani prosedur tersebut.


Berdasarkan ujian awal percubaan klinikal yang telah dilakukan, individu yang mengalami masalah hipertensi tidak terkawal yang mengambil satu hingga tiga ubat-ubatan antihipertensi mengalami penurunan tekanan darah sistolik sebanyak 9.0 mmHg dan penurunan tekanan darah diastolik sebanyak 6.0 mmHg.

Sebaliknya, pesakit yang menjalani prosedur sham iaitu angiogram renal pula mengalami penurunan tekanan darah sistolik sebanyak 1.6 mmHg dan penurunan tekanan darah diastolik sebanyak 1.9 mmHg.

Selepas melakukan ujian ini, ia dijangka akan menunjukkan penurunan tekanan darah secara berperingkat, dalam masa beberapa bulan, dan pesakit masih perlu meneruskan pengambilan ubat-ubatan seperti biasa sebaik saja menjalani prosedur tersebut.

Dalam jangka panjang, prosedur itu akan membolehkan pesakit mengawal tekanan darah mereka dengan lebih baik, walaupun mereka mungkin tidak akan dapat menghentikan terus pengambilan ubat-ubatan antihipertensi. Manfaat utama prosedur ini adalah penurunan risiko kerosakan organ dan penyakit jantung, seperti serangan jantung dan strok akibat hipertensi tidak terkawal.