Carian
Mengapa Bunyi Curahan Air Kedengaran Berbeza Untuk Air Panas Dan Air Sejuk?
January 11, 2022 Lina Rosli

Jika anda mendengar dengan teliti, bunyi air panas dan air sejuk sedikit berbeza apabila dituangkan atau dicurahkan ke dalam cawan.

Hal ini kerana, haba mengubah ketebalan dan juga kelikatan air, yang mengubah kekuatan dan kenyaringan (pitch) bunyi yang dihasilkan apabila ia dituangkan dan dicurahkan ke atas sesuatu permukaan.

Contoh yang paling mudah boleh dilihat menerusi tekstur madu. Madu yang panas mempunyai aliran yang lebih lancar dan tidak begitu likat jika dibandingkan dengan madu sejuk. Makanya, jika anda menuang madu sejuk, ia lebih sukar untuk mengalir disebabkan kepekatan cecair yang tinggi.

Secara ringkasnya, molekul dalam air yang lebih pekat dan sejuk mempunyai tenaga yang kurang, jadi mereka tidak bergerak pantas sekaligus tidak menghasilkan bunyi yang kuat.

Sebaliknya, air yang lebih panas menghasilkan bunyi dengan nada yang lebih tinggi apabila ia terpercik ke dalam cawan atau bahagian bawah pancuran mandian, kerana molekul-molekul bergerak lebih banyak berbanding air sejuk.

Maka, tidak hairanlah sewaktu anda menyediakan kopi di waktu pagi menggunakan air yang panas, anda akan mendengar bunyi percikan lebih jelas berbanding kopi yang telah sejuk dituangkan ke dalam cawan.

Frekuensi Bunyi Air Tidak Berubah, Tetapi Kekuatan Aliran Air Yang Memberi Kesan Kepada Bunyi

Kebanyakan analisis sering membincangkan tentang bagaimana frekuensi berubah, kesan daripada haba yang terkandung di dalam air. Tetapi sebenarnya, frekuensi yang terdapat dalam kedua-dua jenis air panas dan sejuk adalah sama.

Apa yang membezakannya adalah kekuatan aliran air serta saiz titisan air yang terpercik di dinding cawan atau permukaan lantai.

Hal ini kerana, air panas cenderung mempunyai aliran air yang lebih laju disebabkan oleh kelikatan yang lebih cair. Ia secara tidak langsung telah membentuk titisan air yang lebih besar dan akan menghasilkan frekuensi yang lebih tinggi. Disebabkan air panas lebih cair, maka molekul tidak terlalu banyak berpisah di dalam setiap titisan dan memperdengarkan bunyi yang lebih kuat.

Sementara air sejuk pula, saiz titisan air adalah sedikit lebih kecil dan hanya beberapa titisan air sahaja yang mempunyai saiz yang lebih kecil. Hal ini mungkin menyebabkan percikan semula ke bawah selepas hentaman awal. Jadinya, semakin banyak air di atas sesuatu permukaan, semakin banyak titisan yang memercik kembali, dan akan menghasilkan bunyi yang lebih perlahan.

Bukan itu sahaja, frekuensi bunyi yang dihasilkan juga boleh dikaitkan dengan daya cecair ditambah. Apabila kelajuan menuang meningkat, daya atau kekuatan juga turut akan meningkat dan seterusnya cecair yang jatuh menolak lebih jauh ke dalam takungan sekaligus menghasilkan kenyaringan bunyi yang lebih rendah.

Komen