Jika anda sudah bosan menikmati hidangan roti dengan air milo ataupun roti bakar dengan kaya, mungkin sudah tiba masanya untuk anda mencuba hidangan lain yang lebih menarik.
Roti adalah makanan ruji yang boleh dikatakan sangat popular di kebanyakan negara. Malah, untuk pengetahuan anda juga, roti juga merupakan salah satu makanan tertua di dunia.
Menurut Lyon Bakery, roti terawal dibuat pada atau sekitar 8000 SM di Mesir dan beberapa negara Timur Tengah yang lain. Ia kemudian diperluaskan beberapa kawasan lain menjadi beberapa jenis roti yang lain seperti chapati di India dan juga tortilla di Mexico.
5 Resipi Berasaskan Roti Yang Boleh Anda Sediakan
Sekiranya anda menggemari hidangan waktu petang atau snek ringan untuk sajian harian anda, berikut adalah 5 resipi yang boleh anda cuba:
Roti Telur
Antara hidangan popular sewaktu zaman sekolah dahulu, roti yang digoreng bersama telur adalah menu paling mudah untuk disediakan di pagi hari.
Mudah sahaja untuk menyediakannya, anda hanya perlu memotong sekeping roti kepada sama ada dua bahagian atau 4 bahagian. Kemudian, celupkannya ke dalam mangkuk telur yang telah digaul bersama sedikit garam.
Untuk menyediakan hidangan yang kurang berminyak, anda boleh menggorengnya menggunakan minyak yang sedikit ataupun gunakan satu sudu mentega untuk menjadikannya lebih beraroma.
Crouton Mentega dan Herba
Selain itu, anda boleh juga sediakan crouton menggunakan lebihan roti di dapur dengan mula memotongnya menjadi kepingan setengah inci atau saiz lain yang dikehendaki.
Kemudian, hias dan gaulkan roti ini bersama bawang putih, mentega dan rosemary. Panggangkannya di atas atas api sehingga ia bertukar menjadi warna kuning keemasan.
Puding Roti
Sekiranya anda mempunyai lebihan roti yang banyak, maka puding roti adalah hidangan yang paling mudah untuk anda gunakan kesemuanya dalam satu masa.
Bahan asas untuk menyediakan puding roti hanyalah roti, campuran kastard, telur, susu segar dan esen vanila. Anda juga boleh menambah sedikit gula atau susu pekat untuk rasa yang lebih menarik. Selain itu, anda turut boleh meletakkan serbuk kayu manis untuk menghilangkan bau hanyir telur.
Roti Coklat Goreng
Untuk hidangan roti coklat goreng ini, anda boleh menghidangkannya pada waktu petang bersama minuman panas seperti kopi atau teh.
Mudah sahaja, anda boleh meratakan roti dengan penggiling. Kemudian, masukkan satu bar coklat atau satu paket kecil Cadburry dan gulungkan roti mengikut bentuk coklat.
Anda boleh mencelupkannya bersama telur dan breadcrumbs ataupun terus gorengkannya di dalam minyak panas yang menggelegak di dalam kuali.
Roti Pizza
Anda juga boleh menggunakan lebihan roti untuk menyediakan pizza mudah.Apa yang perlu anda sediakan adalah:
- Ambil sekeping roti sama ada anda leperkannya atau gunanya tanpa perlu menipiskannya.
- Kemudian, potong bawang, lada benggala dan dada ayam. Tumiskannya sehingga ia masak.
- Letak dan hiaskannya di atas roti yang telah disediakan. Tambah sedikit keju dan sos untuk menjadikan roti pizza anda lebih menarik.
- Akhir sekali, bakarnya di dalam ketuhar sekitar 5 hingga 8 minit atau panggang sehingga keju cair.
Menarik bukan? Terdapat pelbagai lagi hidangan berasaskan roti yang boleh anda sediakan menggunakan lebihan di dapur. Anda boleh mencubanya dan jangan lupa untuk kongsikan hasil masakan anda bersama pembaca Tajria yang lain.