Hati adalah salah satu organ dalaman yang paling penting dalam tubuh manusia dan fungsi terbesarnya adalah untuk membantu badan menghilangkan toksin.

Untuk pengetahuan anda juga, hati adalah organ terbesar dalam badan yang berwarna coklat dan mempunyai berat kira-kira 1.5kg. Ia terletak di bahagian kanan atas perut dan juga di sebelah rusuk kanan.

Organ ini mempunyai dua bahagian iaitu kanan dan kiri. Lobus kanan hati adalah bahagian terbesar iaitu lima hingga enam kali lebih besar daripada lobus kiri.


Bagi mengekalkan kesihatan hati, adalah penting untuk anda mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat. Antaranya, anda boleh menyediakan kira-kira lima hingga sembilan hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran, ataupun hidangan berasaskan kacang dan bijirin penuh untuk setiap kali waktu makan..

Selain itu, terdapat beberapa perkara dan amalan pemakanan lain yang perlu anda titik-beratkan seperti:

Kekalkan berat badan yang sihat

Jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan, anda mungkin berada dalam bahaya kerana dikhuatiri mempunyai hati berlemak yang boleh membawa kepada penyakit hati berlemak NAFLD.

Ia adalah salah satu bentuk penyakit hati yang paling cepat berkembang. Penurunan berat badan boleh memainkan peranan penting dalam membantu mengurangkan lemak hati.


Pilih minuman yang memberikan kebaikan kepada hati

Antara pilihan minuman yang boleh anda amalkan adalah teh dan kopi.

Untuk pengetahuan anda, teh secara meluas dianggap bermanfaat untuk kesihatan dan ada kajian mengatakan ia memberikan kelebihan khusus untuk hati.

Satu kajian Jepun mendapati bahawa minum 10 cawan teh hijau setiap hari dikaitkan dengan penanda darah kesihatan hati yang lebih baik. Malah, penghidap NAFLD yang meminum teh hijau yang tinggi antioksidan selama 12 minggu meningkatkan tahap enzim hati dan juga boleh membantu mengurangkan tekanan oksidatif dan deposit lemak dalam hati.

Kerap bersenam dan melakukan aktiviti riadah

Apabila anda bersenam secara konsisten, ia membantu membakar trigliserida untuk bahan api dan juga boleh mengurangkan lemak hati.

Bukan itu sahaja, dengan amalan bersenam juga, ia menjadikan tubuh badan lebih aktif selain membantu meningkatkan kelancaran proses menguraikan makanan secara terus selepas makan.


Amalkan tabiat menjaga kebersihan diri

Cuci tangan anda. Gunakan sabun dan air suam sejurus selepas menggunakan bilik mandi, apabila anda menukar lampin dan sebelum menyediakan atau makan makanan.

Selain itu, elakkan daripada berkongsi barangan peribadi seperti ubat gigi, pisau pencukur dan lain-lain bagi mengelakkan jangkitan kuman dan sebagainya.

Ambil ubat yang telah disarankan doktor

Jangan sekali-kali mencampurkan alkohol dengan ubat dan ubat lain walaupun ia tidak diambil pada masa yang sama.

Beritahu doktor anda tentang sebarang ubat, makanan tambahan dan ubat semula jadi atau herba yang anda gunakan. Hal ini bagi mengelakkan ia menjadi toksin yang tinggal di dalam badan anda.

Sumber: Liver Foundation