Lina Rosli Diterbitkan 19 January 2022

Tips Bagi Memastikan Santan Tidak Pecah Minyak Ketika Memasak

Santan ialah cecair pekat dan berkrim yang diekstrak daripada isi atau serat buah kelapa. Jika di Malaysia, ia digunakan secara meluas di dalam kebanyakan hidangan seperti Masak Lemak Cili Api, Kuah Gulai, Kari, Rendang dan banyak lagi.


Tidak seperti waktu dahulu, produk santan kini telah banyak berinovasi yang mana ia boleh didapati dalam pelbagai bentuk termasuk kelapa parut, santan segar, cecair krim dan juga serbuk. Malah kini, sudah banyak jenama tempatan yang mula mengeluarkan produk santan yang lebih tahan lama dan disediakan dalam variasi saiz kotak.

Bukan itu sahaja, santan juga turut diproses dan ditawarkan dalam dua pilihan iaitu versi biasa dan juga rendah lemak.


Bolehkah Menukar Jenis Santan Di Dalam Masakan?

Bagi segelintir individu yang ingin mengurangkan kandungan lemak di dalam hidangan biasanya cenderung untuk menukar penggunaan santaran biasa ke santan rendah lemak.

Namun sebenarnya, ia mungkin bukan idea yang terbaik. Sama seperti susu biasa, kadangkala menukar jenis santan boleh menjadikan masakan lebih lazat, tetapi kadangkala ia juga boleh menjejaskan tekstur keseluruhan hidangan secara negatif.


Bukan itu sahaja, apabila memasak dengan santan, anda perlu berhati-hati untuk mengelakkan menjadi likat ataupun pecah minyak bergantung kepada suhu api anda.

Untuk pengetahuan anda, santan akan menjadi kental apabila dimasak terlalu lama pada suhu tinggi. Malah, ia juga boleh menjadi terasing antara air dan juga sebatian laon jika tidak digaul dengan betul. Berikut ialah cara terbaik untuk melakukannya:

  • Tuangkan santan selepas anda menumis bawang atau bahan lain di atas api.
  • Kecilkan api dan gaul kuah anda secara perlahan setelah dimasukkan santan.
  • Pastikan anda mengaul atau mengacau hidangan sentiasa semasa memasak untuk mengelakkan menjadi kental, menggunakan spatula yang rata dan lebar.

Sekiranya kuah anda telah pecah minyak dan santan menjadi tidak sebati dengan kuah, angkat periuk kuah anda dari api serta-merta dan letakkannta di dalam tab atau bekas ais.

Ia bertujuan untuk menghentikan proses memasak dengan serta-merta. Anda boleh menambah kiub ais ke dalam kuah santan juga. Penyejukan cepat ini sepatutnya membantu menyatukan semula air dengan sebatian kelapa pada santan.