Carian
Adakah Saiz Gigi Besar Boleh Mengunyah Dan Menghancurkan Makanan Lebih Baik?
January 19, 2022 Lina Rosli

Seperti yang anda sedia maklum, gigi adalah mahkota bagi semua individu yang mana ia akan kelihatan pada diri anda ketika anda bercakap, senyum, ketawa, makan dan banyak lagi.

Gigi terdiri daripada enamel, dentin, simentum dan tisu pulpa. Bahagian gigi yang terdedah kepada rongga mulut dikenali sebagai mahkota gigi, dan bahagian di bawah mahkota gigi dikenali sebagai akar gigi.


Untuk pengetahuan anda, gigi pertama bayi muncul ketika mereka berusia enam bulan. Namun, perkembangan awal gigi sebenarnya bermula seawal trimester kedua. Tubuh akan membentuk mahkota gigi dahulu dan selepas itu akar akan terus berkembang setelah gigi muncul.

Kemudian, ketika berumur sekitar 2 hingga 3 tahun, 20 gigi sulung telah mula tumbuh dan kekal sehingga umur 6 tahun. Untuk 20 gigi yang tumbuh ini, 4 daripadanya merupakan gigi kacip, 2 gigi taring, dan 4 geraham pada setiap rahang.

Gigi kekal pula akan mula tumbuh dan menggantikan gigi susu seawal umur 6 tahun sehingga umur 12 tahun.


Adakah Saiz Gigi Besar Boleh Mengunyah Dan Menghancurkan Makanan Lebih Baik?

Sebenarnya, terdapat pelbagai faktor mempengaruhi saiz gigitan makanan dan juga kelancaran proses mengunyah dan menghancurkan makanan.

Oleh itu, sebaik-baiknya gigi haruslah sesuai dengan saiz mulut dan gigitan anda seperti mana-mana gigi anda yang lain. Jika tidak, ia akan menyukarkan anda untuk menggigit dan mengunyah makanan.

Jadi, adakah saiz gigi besar akan memudahkan lagi proses mengigit dan mengunyah? Jawapannya tidak.

Jika saiz gigi anda terlalu besar atau terlalu kecil, ia boleh menyebabkan masalah sewaktu melakukan aktiviti sama ada makan atau bercakap. Gigi yang terlalu besar dan panjang bukan sahaja akan menyebabkan gigitan anda terasa sakit, ia juga boleh memberikan kesan kepada gaya pemakanan anda.


Hal ini kerana gigi yang besar akan membuatkan ia bersentuhan dengan makanan lebih cepat daripada sepatutnya dan cenderung menyebabkan geseran pada dinding mulut dan lidah. Sebaliknya, jika gigi anda terlalu kecil pula, ia menyebabkan makanan dan gigi tidak bersentuhan dengan betul sekaligus mengakibatkan kesukaran untuk mengunyah dan menghancurkan makanan.

Akhir sekali, jika anda mengambil masa yang lebih lama untuk mengunyah makanan, atau jika anda mendapati makanan yang dikunyah tidak hancur dan sukar untuk digigit, maka anda perlu mendapatkan rawatan pakar atau khidmat nasihat yang bersesuaian. 

Sumber: Lion

Komen