Bergerak dalam era digital ini, pastinya segala aktiviti kini boleh dilakukan di hujung jari sahaja.
Sekiranya anda hendak berhubung dengan rakan atau keluarga, anda boleh menggunakan aplikasi permesejan ataupun aplikasi panggilan video dan sebagainya. Manakala, jika ingin mengetahui pekembangan semasa pula, anda boleh terus mendapatkan artikel atau video berkaitan menerusi perkongsian pautan terus di platform media sosial.
Secara tidak langsung, ia menjadikan segala maklumat dan kandungan lebih mudah diakses tanpa sebarang had. Disebabkan itu juga, ia boleh menjadi berbahaya dan tidak sesuai dilayari bagi sesetengah individu.
Ancaman dari kandungan yang tidak dikawal selia di dalam platform maya tidak boleh dipandang ringan, dan ini telah terbukti setelah Forum Kandungan menerima 412 bilangan aduan berkaitan kandungan Internet pada tahun lalu. Ini merupakan satu peningkatan ketara berbanding 169 aduan mengenai isu yang sama pada tahun 2020.
Di antara 1 Januari hingga 31 Disember 2021, Biro Aduan Forum Kandungan telah menerima sejumlah 600 aduan melalui Portal Aduan, emel dan surat mengenai pelbagai isu berkaitan kandungan yang merangkumi pengiklanan, penyiaran dan kandungan mudah alih.
Bukan itu sahaja, 69% dari jumlah aduan melibatkan kandungan yang tidak sesuai atau sensitif yang ditemui di dalam Internet, terutamanya di platform media sosial.
Tidak dinafikan, media sosial adalah satu platform yang dinamik yang mana orang ramai boleh berhubung dan berkomunikasi di antara satu sama lain tanpa kira tempat, waktu dan keadaan. Jadinya, anda akan menjumpai pelbagai jenis perkongsian yang dilakuakn oleh pengguna setiap hari.
Oleh itu, untuk menjadikan platform ini selamat untuk para pengguna dan pencipta kandungan, kebanyakan syarikat media sosial sudah mula mengamalkan kawalan kendiri bagi memastikan ruang maya ini selamat. Jadi, sekiranya anda melihat sebarang pelanggaran garis panduan yang telah ditetapkan, semua individu berhak untuk membuat laporan.
Jika anda merasa adanya kandungan yang menyinggung perasaan atau membuatkan anda berasa rimas tetapi ianya tidak melanggar garis panduan platform tersebut, maka gunakan kuasa anda untuk menyekat, memilih tetapan senyap atau berhenti dari mengikuti akaun berkenaan.
Sebagai permulaan yang baru pada 2022, pengguna media sosial digalakkan untuk mengamalkan kawalan kendiri dan amalan selamat semasa melayari Internet. Berikut adalah beberapa amalan terbaik serta panduan yang boleh digunakan semasa berada di dalam ruang maya:
Lakukan Semakan Tetapan Privasi Akaun Media Sosial Anda
Tetapan privasi sering diabaikan kerana ramai orang sentiasa menganggap bahawa tetapan asal sudah mencukupi.
Walau bagaimanapun, selalunya tetapan privasi yang asal hanya menyediakan lapisan perlindungan yang nipis di dalam dunia maya. Adalah lebih baik untuk menyemak tetapan privasi dan mengubahnya mengikut kesesuaian.
Pengubahan tetapan privasi membolehkan pemegang akaun media sosial menyekat orang yang tidak dikenali daripada melihat maklumat peribadi atau foto yang boleh dimuat turun dan dikongsi dengan orang lain.
Gunakan Ciri Kawalan Ibu Bapa Untuk Kanak-Kanak Bawah Umur
Adalah amat penting bagi ibu bapa untuk sentiasa mengawasi apa yang dilakukan oleh anak mereka di dalam Internet.
Tidak kira sama ada pergaulan media sosial, bermain permainan video atau sekadar melayari Internet, terdapat pemangsa atas-talian yang berbahaya dalam dunia digital.
Oleh itu, ibu bapa boleh dan harus mengawal jenis kandungan yang sesuai untuk kegunaan anak-anak dan menapisnya mengikut kesesuaian. Memanfaatkan ciri-ciri yang sedia ada seperti penuras carian, kekunci masa dan sekatan keselamatan.
Elak Daripada Berkongsi Maklumat Peribadi Secara Tidak Langsung
Berkongsi maklumat peribadi di rangkaian media sosial dilihat sebagai suatu perkara yang biasa bagi generasi muda.
Hal ini kerana, mereka tidak mengetahui bahawa bahaya perkongsian maklumat peribadi yang berlebihan boleh membawa kepada kecurian identiti, penipuan, scam atau ancaman jenayah maya.
Kawal perkongsian anda yang melibatkan tarikh lahir, alamat rumah, nombor telefon atau pendaftaran masuk di lokasi bagi menjaga keselamatan diri.
Menetapkan Kata Laluan Yang Kuat Dan Selamat
Keselamatan adalah perkara yang paling penting dalam dunia maya. Hal ini kerana, ketirisan dan kerentanan maklumat peribadi boleh berlaku dalam apa jua keadaan.
Oleh itu, pastikan anda mengetahui panduan pemilihan kata laluan yang kuat dan selamat untuk akaun media sosial anda. Ia termasuk mencipta kata laluan yang mempunyai gabungan abjad serta angka yang tidak kurang daripada lapan aksara. Bagi memastikan keselamatan maksimum, kata laluan hendaklah ditukar sekurang-kurangnya sekali pada setiap tiga bulan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Forum Kandungan atau Kod Kandungan, anda boleh mengunjungi laman rasmi mereka bermula hari ini.