Penulis Kacak Diterbitkan 12 February 2022

Perasaan Apa Yang Ku Rasa Ini, Salah Ke?

Penulis Kacak datang lagi hari ini. Tergerak hati ingin menulis, kerana sudah tahun 2022, tapi kisah cintaku masih tidak terpartri. Jodohku entah ke mana,

Aku ada kenal dengan seorang gadis ini, ayu, cantik, manis, baik hati. Aku bukan lagi jenis memilih seperti zaman belajar, aku kini berada dalam minda terbuka. Sampai bila aku nak kejar gadis impian? Kalau gadis impian aku tahap Nora Danish, sampai mati pun aku takkan bertemu jodoh.

Cuma entah kenapa aku mudah tertarik dengan gadis yang baik denganku. Dia baik dengan aku, banyak kongsi kisah hidup dengan aku, aku terus rasa – adakah gadis ini jodoh aku? Perasaan ini aku rasa sejak zaman belajar lagi, cuma kali ini aku rasa aku ada lebih kawalan kerana berfikiran lebih matang.

Sejak zaman universiti lagi, aku ada ramai kenalan gadis. Kawan biasa, kawan baik, kawan terlebih baik sehingga gelak-tawa mereka pun tidak acah ayu. Tetapi sejak aku kerja, aku sudah kurang bergaul dan berkomunikasi. Ibarat aku kini berada di alam berlainan. Alam kesepian, kerana sedaya upaya mana pun aku usaha aku tetap tidak temui jodoh aku. Usia sudah semakin lanjut, tetapi aku masih berseorangan.

Kawan gadisku yang terhad ini atau boleh dikatakan hampir tiada kerana aku rasa tidak sampai lima pun yang sanggup tolong aku dalam kesusahan. Kawan lelaki yang ramai pun semua kerap mengusik aku di saat aku serius sehingga membawa aku ke arah kemurungan. Disebabkan aku hanya rapat dengan beberapa gadis, aku mudah jatuh hati. Walaupun aku tahu batas aku di mana, perasaan yang datang bukan mudah untuk hilang.

Tetapi jikalau aku hanya pendam dan tidak luahkan, ia akan mengganggu emosi aku, fokus aku, dan membuatkan aku tidak tentu arah. Tetapi jikalau aku luahkan pula, tidakkah persepsi orang sekeliling akan kata pemikiran aku yang sempit, lemah, dan pelbagai lagi kritikan kerana kata mereka bunga bukan sekuntum.

Dia jauh dengan aku….

Hati jauh….

Hubungan juga jauh berbeza…

Dia pandang aku hanya sebagai kawan…

Tapi perasaan aku rasa ini seakan satu bayangan pada Si Dia…

Semua ini adalah mainan minda untuk aku tidak rasa ketinggalan…

Dalam dunia ini aku tahu, kerana aku pernah jumpa, pernah kenal, pernah saksikan dan pernah alami jatuh cinta dengan orang yang aku anggap kawan. Tetapi kerana perasaan yang tidak sama, persahabatan aku musnah. Bukan aku seorang, tetapi turut menjejaskan orang sekeliling sehingga aku kehilangan semakin ramai kawan. Apakah salah aku untuk hanya luahkan, kalau tolak, salah ke untuk aku berkawan? Kenapa perlu hasut kawan lain untuk terus lupakan kewujudan aku?