Tidak dinafikan, herba dan rempah merupakan bahan penambah rasa yang cukup sinonim dalam kebanyakan hidangan masakan. Rasa yang dimaksudkan di sini adalah rasa seperti berangin dan bercampur sitrus, sedikit berkayu ataupun sedikit berbunga.

Ya benar, herba adalah tumbuhan yang mempunyai sifat harum atau aromatik. Herba boleh digunakan untuk menyedapkan makanan, termasuk dalam wangian, dan juga sebahagian daripada ubat semulajadi. Contoh herba di pasaran termasuklah basil, pasli, rosemary, thyme dan dill.

Perbezaan Antara Herba dan Rempah

Antara perbezaan penting antara herba dan rempah terletak pada bahagian mana tumbuhan itu berasal.

Herba ialah daun atau tumbuhan hijau lain yang tumbuh di bahagian pokok. Sementara, rempah pula adalah unsur atau bahagian tumbuhan lain termasuk kulit kayu kering, akar, buah beri, biji, ranting, atau bahagian lain yang digunakan untuk perasa atau perisa hidangan.


Sebagai contoh, kayu manis ialah kulit pokok. Buah pelaga ialah buah biji benih. Manakala, cengkih ialah tunas bunga kering. Ini semua adalah contoh rempah ratus.

Selain itu juga, kebiasaannya rempah sering digunakan dalam bentuk kering manakala herba boleh digunakan sama ada segar atau kering.

Kayu manis

Kayu manis adalah salah satu rempah yang paling biasa digunakan dalam kebanyakan je nis masakan manis dan berperisa.

Terdapat banyak kajian yang menunjukkan kesan penurunan glukosa darah sekiranya mengambil kayu manis di dalam hidangan. Sebatian bioaktif kayu manis secara kolektif mempunyai kesan antioksidan, antimikrob, antikanser dan antikulat. Malah terdapat beberapa bukti awal bahawa kayu manis boleh membantu menurunkan jumlah kolesterol dan trigliserida.

Biasanya, kayu manis tidak mempunyai had penggunaannya. Batang kayu manis boleh digunakan untuk menyelitkan rasa kayu manis ke dalam minuman, seperti teh atau kopi kayu manis, atau ditambah semasa proses memasak ke dalam cecair perap, rebusan atau sos tomato.


Kunyit

Salah satu kumpulan halia, kunyit adalah bahan penting dalam masakan Melayu dan juga masakan India.

Untuk pengetahuan anda, ia mengandungi kompaun curcumin. Beberapa kajian menunjukkan curcumin boleh menghalang pertumbuhan sel tumor serta mengurangkan penanda keradangan dalam badan. Kunyit juga sedang dikaji untuk manfaat kesihatan usus dan otaknya dan juga boleh membantu menurunkan jumlah kolesterol dan trigliserida.

Dari sudut kegunaan masakan, kunyit boleh dimakan sama ada secara mentah ataupun menggunakan serbuk. Jika untuk hidangan, anda boleh menyalutkan kunyit dengan ayam sebagai perapan, atau dihiris sebagai ulam di dalam hidangan.

Halia

Halia digunakan sebagai rempah yang mana ia boleh dimakan sama ada secara segar atau dikeringkan dan dikisar serta digunakan di dalam pes.

Ia mengandungi fitonutrien yang bertindak sebagai antioksidan bersama-sama dengan ciri-ciri antivirus, antikulat, antibakteria, antiradang dan analgesik. Kedua-dua bukti saintifik dan anekdot menunjukkan bahawa halia boleh membantu mengurangkan loya dan muntah, khususnya berkaitan simptom tersebut semasa kehamilan dan kemoterapi.

Bagi kebanyakan masakan, halia kering biasanya mempunyai rasa yang kuat, terutamanya jika ia baru dibuka. Halia yang dikisar biasanya digunakan dalam barangan bakar yang dipasangkan dengan rempah ratus seperti kayu manis, cengkih, dan buah pala, tetapi juga merupakan rempah yang bagus untuk digunakan dalam hidangan yang lazat.

Jintan manis

Jintan manis merupakan tumbuhan adas yang mempunyai aroma dan rasa likuoris atau anise dan boleh dimakan keseluruhannya sendiri atau digunakan dalam masakan.

Sekiranya anda mengambil jintan manis, hanya 1 sudu besar biji jintan akan memberikan faedah kepada tubuh seperti serat dan merupakan sumber mineral penting untuk pelbagai fungsi badan, termasuk metabolisme, penyerapan kalsium, pengawalan gula dalam darah, fungsi otak dan saraf.

Kalau di dalam masakan Melayu, biasanya jintan manis banyak dikisar bersama bawang dan digunakan di dalam masakan seperti masak kicap, rendang, kari dan sebagainya.

Paprika

Terdapat tiga jenis paprika iaiatu manis, pedas dan salai yang mana semuanya boleh menjadi tambahan yang tepat untuk membawa hidangan anda ke peringkat seterusnya.

Paprika mengandungi kompaun aktif capsaicin diiktiraf untuk beberapa manfaat kesihatan kerana sifat antioksidan dan anti-radangnya. Perlu diingatkan, lebih pedas paprika, lebih banyak capsaicin ia kandungi.

Akhir sekali, paprika juga mengandungi jumlah vitamin dan mineral yang sangat tinggi termasuk zat besi, vitamin A, vitamin E, dan vitamin B6, serta pelbagai fitokimia.