Shopee kini menawarkan ciri penghantaran baru pada platform mereka iaitu, servis ambil sendiri atau ‘Shopee Self-Collection’.

Dengan adanya pilihan mengambil sendiri bungkusan yang dibeli dari laman berkenaan ini, ia lebih memudahkan pengguna dalam mendapatkannya pada bila-bila masa yang dikehendaki.

Setakat ini, tawaran ambil sendiri bungkusan ini hanya terhad di 300 tempat pengumpulan barang di sekitar Lembah Klang sahaja melalui Mail Boxes Etc, Shopee Xpress dan juga Parcelhub.


Bagaimana Untuk Menggunakan Ciri Shopee Self- Collection?

Menerusi percubaan Tajria, masih tidak ramai kedai yang menawarkan pilihan ini kepada pelanggan. Bukan itu sahaja, pelanggan juga perlu membayar caj penghantaran yang sama nilainya dengan pilihan penghantaran terus di pintu rumah.

Untuk mencuba, terdapat beberapa langkah yang boleh anda ikuti:

  1. Anda perlu klik ‘Shipping Option’ untuk menukar pilihan penghantaran sebelum melakukan pembayaran.
  2. Kemudian, pilih ‘Self-Collection’ dan klik ‘Standard Delivery’ untuk membuat penukaran tempat pengumpulan bungkusan.
  3. Tambah lokasi yang diingini dengan menekan butang  “Add Collection Point” dan cari tempat pengumpulan berdekatan dengan menaip alamat atau poskod anda.
  4. Selepas memilih pusat pengumpulan yang berdekatan dengan lokasi anda, sistem akan memaparkan maklumat seperti nama, nombor telefon dan alamat untuk mengambil barang.
  5. Pastikan anda meletakkan nama dan nombor telefon yang tepat untuk menerima notifikasi sebelum mengesahkan pesanan.


Sekiranya barang anda sudah tiba dan tersedia untuk diambil di pusat pengumpulan barang, anda akan menerima SMS dengan pin nombor enam digit untuk ditunjukkan kepada ejen semasa mengambil bungkusan anda.

Harus diingatkan kepada anda bahawa, anda perlu mengambil bungkusan anda dalam tempoh tujuh hari selepas ia tiba di tempat pengumpulan. Sekiranya lewat, pesanan anda akan dibatalkan secara automatik.