Carian
Kucing Anda Hilang? Apa Yang Perlu Dilakukan?
January 25, 2022 Lina Rosli

Sebagai pemilik kucing, antara perkara yang paling ditakuti adalah apabila anda mendapati kucing yang dipelihara tidak berada di dalam sangkar ataupun tempat biasa yang mereka duduki.

Pastinya pelbagai perkara akan bermain di dalam fikiran. “Adakah mereka dicuri orang?”“Lupakah mereka akan jalan pulang?” dan bermacam-macam lagi.


Namun, tidak ramai yang tahu apakah yang mereka harus lakukan apabila masalah ini terjadi selain daripada menampal poster dan melakukan perkongsian di laman sosial atas-talian.

Berikut ialah beberapa langkah yang perlu anda ambil untuk membawa dan memastikan kucing anda pulang kembali:

Lakukan Carian Di Sekitar Kawasan Perumahan

Ramai dalam kalangan pemilik kucing yang cenderung untuk hanya menunggu  kucing mereka untuk pulang ke rumah sendiri sebelum mereka mula mengambil langkah mencari haiwan kesayangan mereka yang hilang.

Untuk pengetahuan anda, sekiranya kucing anda sesat, mereka cenderung untuk berlegar jauh daripada kawasan rumah. Berkemungkinan besar mereka bersembunyi di suatu tempat yang selamat ataupun mereka mungkin terperangkap pada mana-mana kawasan yang menyukarkan mereka untuk keluar.


Selain itu, jangan teragak-agak untuk berjalan di sekitar kawasan kejiranan anda memanggil nama mereka. Mendengar suara anda mungkin mengingatkan kucing anda bahawa tuannya atau makanan yang enak sedang menunggu mereka.

Jika mereka tidak menjawab panggilan anda, mereka mungkin telah pergi lebih jauh. Adalah penting untuk diingat bahawa lebih awal carian bermula, lebih tinggi peluang untuk menjumpai kucing anda.

Tarik Perhatian Kucing Anda Untuk Pulang

Kadangkala untuk anda menarik perhatian kucing anda untuk pulang kembali ke rumah, ia memerlukan sedikit trik dan kaedah yang unik.

Salah satunya adalah meletakkan mangkuk dan makanan kucing anda di luar untuk membantu mereka mengikuti bau yang mereka ketahui. Sekiranya boleh, buka sedikit ruang di pagar untuk memudahkan mereka masuk.

Selain itu, anda boleh menggunakan kain selimut mereka atau alat permainan yang mempunyai bau mereka untuk memudahkan mereka menjejaki semula kawasan kediaman mereka.


Aktif Dalam Melihat Perkongsian Orang Ramai Mengenai Kucing Yang Dijumpai

Setelah melakukan kedua-dua langkah di atas, perkara terakhir yang perlu anda laksanakan adalah memeriksa dan meneliti perkongsian orang ramai mengenai haiwan yang mereka jumpai.

Anda juga boleh mengikuti akaun carian kucing di platform sosial media untuk kawasan setempat atau menyertai perbualan di dalam bilik sembang bagi mengetahui status terbaru mengenai keberadaan kucing anda. 

Menerusinya juga, anda boleh melakukan pengiklanan untuk menyampaikan mesej bahawa kucing anda telah hilang kepada orang ramai. Pastikan anda siarkan juga foto jelas kucing anda, nama mereka dan spesifikasi lain.

Komen