Carian
Rancang Untuk Beli Gajet Baharu? Apa Yang Perlu Anda Tahu?
January 31, 2022 Lina Rosli

Bersempena dengan tahun baharu 2022 ini, pasti ramai yang telah mempersiapkan diri dengan azam baharu. Selain itu, mungkin juga ada dalam kalangan anda yang merancang untuk mendapatkan peranti komunikasi dan wayarles yang terkini.

Tidak kira sama ada anda ingin mendapatkannya melalui kedai fizikal mahupun platform dalam talian, ia sudah menjadi satu kemestian untuk memastikan bahawa peranti  yang ingin dibeli telah diperakui bagi menjamin keselamatan dan pengoperasian peranti pada tahap yang terbaik sepanjang penggunaan.

Bagaimana untuk mengetahui sama ada peranti yang hendak dibeli telah diperakui? Mudah sahaja, perkara utama yang perlu dilakukan adalah memastikan label MCMC ada pada peranti tersebut.

Seterusnya, semak kesahihan label MCMC dengan menggunakan aplikasi Check Your Label (CYL) yang boleh dimuat turun di Google Play Store atau Apple App Store dengan percuma. Kaedah menyemak status label MCMC boleh dilakukan dengan menggunakan nombor IMEI atau nombor siri peranti.

Untuk pengetahuan anda, peranti komunikasi dan wayarles yang mempunyai label MCMC ini sebenarnya telah melalui beberapa proses pengujian dan penilaian dari aspek  kesalingbolehkendalian, keserasian elektromagnetik dan keselamatan. Ianya adalah bertujuan untuk memastikan peranti menepati standard-standard yang telah ditetapkan dan dapat berfungsi dengan baik.

Secara ringkas, label MCMC merupakan tanda perakuan yang wajib bagi menunjukkan bahawa peranti tersebut telah diperakui mengikut Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Pilih Gajet Dengan Label MCMC 

Selari dengan kepentingan label MCMC pada peranti komunikasi dan wayarles, MCMC telah mengadakan kempen kesedaran yang dinamakan ​​Check Your Label atau Semak Label Anda.

Kempen ini bertujuan untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan membeli peranti yang mempunyai label MCMC. Bukan itu sahaja, melalui kempen ini pengguna boleh mendapatkan maklumat berkenaan label MCMC dan panduan tentang cara-cara untuk menyemak kesahihan label tersebut.

MCMC

Tidak sekadar terhad untuk peranti komunikasi seperti telefon pintar atau tablet sahaja, anda juga sebenarnya boleh menyemak status perakuan bagi pelbagai jenis peranti seperti perkakasan pintar di rumah, alat pemakaian pintar, dan semua jenis peranti yang mempunyai sambungan kepada rangkaian komunikasi awam ataupun peranti yang dilengkapi dengan modul komunikasi seperti GSM, LTE, 5G, WiFi dan Bluetooth dan lain-lain.

MCMC telah memperkenalkan kaedah pelabelan kendiri (Self Labelling Program) yang membawa logo MCMC sebagai label perakuan yang baharu bagi menggantikan label konvensional jenis pelekat hologram yang dikeluarkan oleh SIRIM, selaku agensi pemerakuan berdaftar. Skim pelabelan baharu ini membenarkan label dalam bentuk fizikal (engraved, embossed atau pelekat) dan dalam bentuk e-label bagi peranti yang mempunyai skrin paparan.

Peranti komunikasi dan wayarles yang tidak mempunyai label MCMC sudah semestinya tidak diperakui dan dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan pengguna dan menyebabkan gangguan frekuensi.

Ingin Membeli Gajet Dari Luar Negara, Tapi Bagaimana?

Sekiranya anda ingin mendapatkan atau membeli peranti komunikasi dan wayarles dari luar negara, anda perlu memohon Special Approval (SA) untuk tujuan perakuan dan Clearance Letter (CL) untuk kebenaran mengimport peranti komunikasi dan wayarles.

Langkah-langkah yang perlu dilakukan adalah seperti berikut: 

  1. Log masuk ke https://ecomm.sirim.my/ dan daftar sebagai Individu.
  2. Sediakan dan muat naik dokumen yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan atau pasport untuk pendaftaran akaun.
  3. Lengkapkan maklumat pengimportan seperti nama penerima, pengirim, kod tariff, maklumat peranti dan lain-lain.
  4. Muat naik dokumen seperti spesifikasi peranti, invois, manual pengguna dan juga brosur untuk penilaian.
  5. Lakukan pembayaran RM20.00 untuk model peranti komunikasi dan wayarles yang mempunyai rekod diluluskan dan RM40.00 untuk peranti komunikasi dan wayarles  yang tidak mempunyai rekod diluluskan.
  6. Muat turun Clearance Letter untuk diserahkan kepada Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.

Pelaksanaan SA & CL ini bertujuan untuk memastikan peralatan komunikasi dan wayarles yang hendak dibeli dari luar negara adalah selamat dan boleh digunakan tanpa sebarang masalah.

Langkah – Langkah  Menyemak Status Perakuan Peranti Komunikasi dan Wayarles Menerusi Aplikasi CYL

Terdapat dua (2) kaedah untuk anda memeriksa status perakuan peranti komunikasi dan wayarles anda dengan menggunakan aplikasi CYL.

Apa yang perlu anda lakukan adalah seperti berikut:

  1. Muat turun aplikasi Check Your Label secara percuma di Apple App Store atau Google Play Store.
  2. Kenal pasti nombor IMEI atau nombor siri peranti yang ingin di semak.
  3. Taipkan nombor IMEI atau nombor siri peranti dalam aplikasi mudah alih CYL. Tekan butang *#06# untuk mendapatkan nombor IMEI pada peranti seperti telefon bimbit dan tablet.
  4. Pastikan maklumat perakuan seperti nombor model, jenama, pembekal & lain-lain yang tertera adalah sepadan dengan maklumat yang disemak.

Mudah sahaja, bukan? Ia tidak mengambil masa yang lama untuk memastikan peranti komunikasi dan wayarles anda itu diperakui dan selamat untuk digunakan. Untuk maklumat lanjut, layari layari laman web rasmi Check Your Label atau akaun media sosial rasmi CYL di Facebook, Instagram dan Youtube.

Komen