Penulis Kacak Diterbitkan 4 February 2022

Apakah Maksud Zaidani, Kawan Atau Lawan?

Penulis Kacak hanyalah nama pena. Setiap kisah di dalam cerita yang pernah kami tulis tidak melibatkan nama sebenar. Ada juga kisah dongeng semata-mata, tetapi majoritinya adalah daripada pengalaman sendiri, kisah yang dikongsi oleh orang yang rapat dengan kami.

Baru-baru ini ada kami terima satu kisah yang kami rasa patut dikongsi dan memerlukan bantuan orang ramai untuk pendapat. Ia kisah dikongsi oleh seorang individu yang ingin digelar sebagai Mawar Syakirah.

Beliau bekerja sebagai seorang penulis novel drama, setiap hasil karya beliau adalah berdasarkan kisah perit yang beliau lalui. Ini kerana, dengan menulis secara tidak langsung beliau juga meluahkan segala perasaan agar ia bebas untuk mengurangkan rasa depresi. Suatu hari, beliau mula menulis novel drama yang buat bertama kalinya bertemakan kebahagiaan.

Dalam novel itu, beliau perbaiki diri untuk menjadi yang lebih baik. Beliau ubah diri dan buang sikap negatif yang pada beliau mungkin punca masih hidup bersendirian tanpa peneman. Beliau juga rangka satu watak jejaka dengan kerjaya seperti beliau, iaitu penulis novel. Dua watak utama adalah Zaidani dan diri beliau Mawar.

Kedua-duanya bekerja secara bersendirian, syarikat penerbit juga berbeza. Mereka berdua boleh dikatakan pesaing. Namun disebabkan Mawar penulis novel cinta dan Zaidani penulis novel sains fiksyen, suatu hari mereka menerima perbezaan masing-masing dan menjadi kawan baik. Selepas bertahun berkawan, Mawar mula mempunyai perasaan cinta terhadap Zaidani kerana Zaidani walaupun sudah bertunang – layanan beliau masih lagi baik dan membuatkan Mawar sukar untuk lupakan.

Bukan ingin bersyukur atau rasa suka, suatu hari Zaidani putus tunang kerana tunang beliau yang tidak lagi cintakan beliau tetapi memilih untuk bersama dengan bekas kekasih. Mawar mula rasakan adakah ini peluang terbaik untuk luahkan segalanya atau sabar dan tunggu saat yang sesuai. Mawar berasa kedua-dua bahagia dan sedih kerana kawan baik yang kini tiada teman serta berduka kerana hilang orang yang disayangi.

Berminggu Mawar menjadi kawan yang baik hati sentiasa berada di sisi memberikan ketenangan kepada Zaidani. Zaidani juga seakan memberi petanda yang beliau boleh terima Mawar untuk bersama. Mungkin hanya bayangan Mawar atau Mawar hanya berfikir secara berlebihan yang bercampur dengan imaginasi – tanpa berfikir lanjut terus meluahkan perasaan yang dipendam kepada Zaidani.

Zaidani terus terkejut dan menolak dengan baik cinta Mawar. Malah Mawar lupa yang Zaidani pernah katakan beliau hanya anggap Mawar sebagai kawan baik sejati dan tidak ingin ada hubungan yang mendalam kerana tidak ingin hilang akan keseronokan berkawan. Mawar yang mengharapkan luahan beliau dan pengakuan beliau itu diterima, terus kecewa.

Pada awalnya Zaidani masih layan Mawar dengan baik, sehinggalah suatu hari Zaidani seakan semakin berjauhan. Mawar yang masih kecewa dan harapkan masih boleh berkawan mula berfikir bukan-bukan. Sedangkan apa yang Mawar inginkan hanyalah Zaidani sebagai kawan dan perasaan lalu boleh pendam. Mawar juga ingin elakkan perasaan janggal, jika tidak rancangan untuk berkolaborasi sebagai penulis bersama untuk sebuah novel cinta dan sains fiksyen sukar untuk dijayakan.

Setiap kali Mawar cuba menjadi kawan, cuba ingin membuka topik perbualan, sejak ke belakangan ini Zaidani seakan mengelak dan balasan setiap mesej juga seakan tegas. Adakah ini cara Zaidani mengelak diri agar Mawar hilang terus perasaan atau adakah Zaidani kini benci pada Mawar kerana Mawar punca persahabatan ini rosak? Apa salah Mawar? Kenapa Zaidani begini?

Berminggu lamanya sebelum ini semuanya rasa baik. Walaupun perasaan cinta Mawar masih ada dan hanya pendam. Keseronokan berkawan itu masih ada dan membuatkan diri Mawar yang hampir ke arah depresi terus bahagia. Tetapi jika Zaidani seakan mengelak diri, apakah makna semuanya? Zaidani yang tolak cinta Mawar dengan kata ingin kekal berkawan. Tetapi bagaimana?

Zaidani seakan tidak pegang kata-kata beliau. Mawar menjadi keliru dan kini hanya hidup seorang diri cuba mencari kebahagiaan. Cuba masih berkawan dan tidak ingin bermusuhan, dan hanya dapat harapkan dari Ilahi jika semua ini akan berakhir dalam masa terdekat.


Zaidani dan Mawar adalah watak fiksyen. Tetapi kisah ini menurut sumber adalah kisah benar yang beliau lalui tahun ini. Walaupun bukan nama sebenar, Penulis Kacak agak aneh dengan watak Zaidani ini. Beliau jelas memberi petanda, serta perasaan yang bercampur. Namun Mawar pula mungkin masih ada salah beliau kerana terlampau awal meluahkan segalanya, cuma apa yang Zaidani lakukan adalah tidak patut.

Itu pendapat Penulis Kacak. Pembaca bagaimana?