Tidak dinafikan, isu berkaitan pengurusan sisa perubatan atau produk berasaskan kesihatan telah berlaku sejak dahulu lagi. Sisa perubatan ini melibatkan pembuangan bahan kimia seperti cecair, ubat-ubatan dan juga sisa plastik seperti picagari, jarum dan kotak keselamatan.

Menurut Kementerian Alam Sekitar Malaysia, peratusan sisa perubatan dilihat semakin memuncak dalam tempoh 2 tahun sejak krisis COVID-19 berlaku. Pada tahun 2020, pembuangan sisa perubatan memaparkan peningkatan sebanyak 17% yang dihasilkan oleh klinik, hospital dan juga farmasi.
Tidak berhenti di situ, WHO pula melaporkan bahawa lebih 140 juta kit ujian telah dikesan berpotensi untuk menjana 2,600 tan sampah tidak berjangkit dan lebih 8 bilion dos vaksin telah digunakan secara global pula menghasilkan 144,000 tan sisa perubatan.

Selain daripada itu, penggunaan pelitup muka oleh setiap individu juga turut memberi kesan yang sama kepada alam sekitar. Secara purata, sisa jenis perubatan telah meningkat kepada 120% hingga 150% untuk setiap isi rumah dan komersial.
Peningkatan secara drastik didorong oleh penguatkuasaan pemakaian pelitup muka, pelindung muka (face shield) dan penggunaan cecair pensanitasi setiap kali individu berada di luar rumah.
Dengan peningkatan jumlah sisa perubatan ini, ia dilihat telah memberi tekanan yang besar pada sistem pengurusan sisa penjagaan kesihatan di seluruh dunia sekaligus mengancam kesihatan manusia dan alam sekitar.
Bagaimana Untuk Menangani Isu Pengurusan Sisa Perubatan?
Bagi setiap institusi kesihatan yang merangkumi farmasi, klinik kesihatan, hospital dan lain-lain, adalah penting untuk mereka mempunyai sistem pengurusan yang berkesan, termasuk panduan untuk pekerja kesihatan tentang perkara yang perlu dilakukan dengan PPE dan komoditi kesihatan selepas ia digunakan
Selain itu, penggunaan plastik pembungkusan dan penghantaran mesra alam perlu segera diimplementasi agar dapat mengurangkan bebanan pengurusan sisa perubatan. Ia termasuk penggunaan PPE yang selamat dan boleh diguna semula, pelitup muka yang dihasilkan daripada bahan kitar semula atau terbiodegradasi dan banyak lagi.

Nampaknya selepas ini, pelan kelestarian tidak boleh tertumpu pada sesetengah industri sahaja. Sudah tiba masanya untuk setiap institusi kesihatan yang terlibat mula bergiat aktif dalam mengukuhkan sistem pengurusan sisa perubatan dan melupuskan segala jenis sisa termasuk bahan kimia, plastik dan sebagainya secara selamat dan lestari.
Peranan Setiap Individu Dalam Melupuskan Sisa Perubatan Di Rumah
Akhir sekali, pengurusan sisa perubatan yang betul di rumah juga perlu dipraktikkan oleh setiap individu. Lebih-lebih lagi untuk individu yang mengalami isu kesihatan yang boleh berjangkit.
Jadinya, anda perlu mengamalkan langkah penjagaan dan pengurusan sisa yang lebih teliti bagi mengelakkan sebarang masalah dan risiko lain. Antaranya:
- Pembersihan yang kerap untuk kawasan yang didiami pesakit bagi mengelakkan sisa tambahan yang dijana menjadi tempat pembiakan bakteria dan sebagainya.
- Elakkan daripada menyingkirkan ubat yang tidak digunakan dengan cara yang tidak bertanggungjawab. Sebaliknya, kumpul dan lupuskan ubat-ubatan di kotak khusus yang disediakan sama ada di hospital atau klinik berdekatan.
- Untuk pelitup muka, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan agar membuangnya ke dalam tong sampah yang khusus sejurus selepas digunakan dan tidak menggunakannya semula.

Apa yang dimaksudkan dengan tong sampah khusus? Ia adalah tong yang digunakan untuk melupuskan pelitup muka atau bahan pakai buang lain yang digunakan untuk membendung wabak seperti sarung tangan, plastik pembungkusan, botol cecair dan sebagainya. Pastikan anda tidak membuangnya bersama sampah domestik lain di dalam rumah anda.