Dengan kehadiran perkakas memasak seperti ketuhar gelombang mikro di dapur, ia dilihat telah memberikan banyak kelebihan kepada setiap individu.

Ia bukan sahaja memudahkan individu untuk memanaskan semula makanan sebelum dihidangkan tetapi juga turut menjimatkan masa dan tenaga kerana tidak perlu membersih dan membasuh bekas yang banyak sekiranya memanaskan lauk menggunakan dapur gas.

Tambahan lagi, ramai dalam kalangan pengeluar makanan juga kini telah aktif menawarkan makanan sedia makan yang hanya memerlukan anda memanaskannya sama ada di ketuhar ataupun air panas. Maka, tidak hairanlah mengapa ketuhar gelombang mikro kini sudah menjadi satu keperluan untuk setiap rumah.

Adakah Bekas Makanan Plastik Selamat Untuk Dipanaskan Di Dalam Ketuhar Gelombang Mikro?

Secara umumnya, memanaskan makanan menggunakan bekas makanan plastik di dalam ketuhar gelombang mikro adalah selamat kerana ia tidak akan memberi kesan kepada tekstur, rasa dan kualiti makanan anda.

Namun apabila ia mencecah suhu yang terlalu tinggi, berkemungkinan besar ia boleh merosakkan bekas makanan anda. Apabila pemanasan berlaku, bahan kimia pada bekas akan mula bertindak balas yang mana akan berpindah atau bocor pada permukaan yang lain. Ia seterusnya akan menyebabkan minyak atau apa-apa cecair melekat pada bekas makanan sekaligus menjadikan bekas tersebut bertukar warna apabila ia sejuk.

Bekas Makanan Manakah Yang Selamat Digunakan Di Dalam Ketuhar?

Bekas makanan yang paling biasa digunakan untuk memanaskan makanan di dalam ketuhar gelombang mikro adalah bekas yang diperbuat daripada kaca seramik atau kaca kalis haba.

Antara jenama popular dalam kalangan individu adalah Luminarc, Vision dan juga Corelle yang mana ketiga-tiga jenama ini diperbuat daripada kaca. Jadinya, ia adalah produk pinggan mangkuk yang selamat untuk digunakan di dalam ketuhar gelombang mikro yang popular.

Selain itu, bekas jenis seramik dan silikon juga selamat untuk digunakan dalam ketuhar gelombang mikro, tetapi pastikan anda periksa bahagian label pada bawah bekas anda untuk informasi yang lebih tepas.

Akhir sekali, anda juga boleh menggunakan bekas keluli tahan karat. Jenis keluli dikira antara bahan paling popular yang digunakan untuk alat memasak. Hal ini kerana keluli tahan karat tidak akan terkesan dan bertindak balas dengan suhu yang tinggi.

3 Perkara Yang Harus Anda Hindari Ketika Memanaskan Semula Makanan

Untuk memaksimumkan jangka hayat bekas makanan dan juga ketuhar gelombang mikro anda, pastikan anda tidak melakukan tiga perkara ini, iaitu:

  • Meletakkan bekas makanan langsung daripada peti sejuk ke dalam ketuhar kerana bimbang tindak balas suhu boleh menyebabkan insiden bekas makanan retak dan pecah sewaktu pemanasan.
  • Menggunakan bekas makanan jenis non-stick kerana umumnya jenis ini tidak sesuai untuk digunakan di dalam ketuhar gelombang mikro kerana kebanyakan kuali ini diperbuat daripada bahan kimia yang boleh meresap ke dalam makanan apabila terlalu panas.
  • Memanaskan makanan menggunakan bekas yang diperbuat daripada bahan campuran. Sebagai contoh bekas makanan yang dilengkapi dengan tempat pemegang plastik tidak tahan panas. Ia dikhuatiri boleh cair apabila dibiarkan dalam ketuhar yang lebih panas untuk tempoh yang lama.