Carian
Benarkah Putih Adalah Warna Kereta Yang Paling Popular Dalam Kalangan Pemandu Di Malaysia?
February 7, 2022 Lina Rosli

Berdasarkan laporan Carsome, ia memperlihatkan bahawa warna putih adalah warna pilihan kebanyakan individu di Malaysia dengan kadar peratusan pembelian mencecah 28%.

Selain daripada putih, antara warna yang juga digemari oleh pemandu di Malaysia termasuklah Silver (24%), Kelabu (19%), Merah (17%) dan Biru (12%).

Jika kita imbas kembali kepada sejarah awal pengeluaran kereta, penawaran dan penampilan warna untuk kenderaan dahulu adalah terhad kepada warna asas sahaja.

Oleh itu, kebanyakan kereta pada waktu itu akan dicat dengan warna hitam. Pemilihan warna hitam ini dikatakan bagi menyerupai dengan kereta kuda yang biasa digunakan terdahulu. Malah ketika Ford Motor mula memasuki industri pengeluaran kereta, jenama itu dilihat hanya menawarkan pilihan warna hitam sahaja untuk model T.

Bilakah pilihan warna lain mula diperkenalkan? Untuk pengetahuan anda, penawaran warna yang lebih variasi ini mula meluas selepas Perang Dunia II tamat. Sama seperti trend fesyen, industri automotif mula aktif pada sekitar tahun 1950-an. Pada waktu itu, anda akan melihat kereta dengan berbagai warna di atas jalan raya.

Secara umumnya, faktor yang menjadikan warna putih sebagai warna pilihan kebanyakan pemandu adalah warna ini mempunyai berkemungkinan yang rendah untuk menjadi tidak relevan.

Hal ini kerana, jika dibandingkan dengan warna lain seperti merah, oren atau kuning, warna putih mempunyai permintaan yang konsisten. Ia mungkin disebabkan oleh warna putih adalah lebih universal serta telah digunapakai oleh hampir semua jenama dan model kereta.

Menurut pakar, kereta putih juga dilihat mampu mengekalkan nilainya dalam pasaran jualan semula. Sementara warna yang lebih berani kadangkala mempunyai susut nilai lebih cepat dan bergantung pada trend.

Faktor lain yang menjadikan warna putih adalah warna yang paling popular dalam kalangan pemandu termasuklah kehadiran variasi warna putih dalam palet warna yang ditawarkan oleh setiap jenama kenderaan.

Tidak semua cat putih dicipta sama, dan ini digambarkan dengan sempurna dengan jika anda membandingkan warna putih untuk Toyota berbeza dengan warna putih dari Proton. Berbanding dengan palet warna putih biasa, Pearl oleh Toyota mempunyai lebih kilauan dan kedalaman. Malah, sekiranya terdapat calar kecil pada tubuh kereta, ia tidak begitu jelas kelihatan berbanding warna terang sekaligus membantu anda mengurangkan kos penyelenggaraan kereta.

Komen