Carian
Bagaimana Untuk Kekal Selesa Memakai Pelitup Muka Sewaktu Cuaca Panas?
February 8, 2022 Lina Rosli

Sejak akhir-akhir ini, muncul kembali perkongsian mengenai jumlah kes COVID-19 di Malaysia yang dilihat telah mula menimbulkan kerisauan dalam kalangan individu.

Selari dengan peningkatan jumlah kes COVID-19 di kebanyakan negeri, maka orang ramai disarankan untuk kekal menjaga keselamatan dan kesihatan diri di samping mematuhi segala peraturan dan SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Apabila bercerita mengenai SOP, amalan pemakaian pelitup muka ketika berada di luar amatlah penting dan perlu dipraktikkan sepanjang masa. Malah untuk langkah pencegahan tambahan, orang ramai digalakkan untuk menggunakan pelitup muka berganda (double mask) lebih-lebih lagi ketika berada di kawasan awam yang agak sesak.

Oleh itu, bagi menjamin keselesaan sepanjang pemakaian pelitup muka ketika berada di luar, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada pembaca tips untuk kekal selesa ketika memakai pelitup muka di bawah cuaca panas.

Pilih Dan Guna Pelitup Muka Yang Diperbuat Daripada Bahan Mudah Bernafas

Seperti memilih pakaian, fabrik atau struktur binaan pelitup muka juga adalah penting.

Hal ini kerana, dengan penggunaan fabrik yang bersesuaian, ia bukan sahaja membantu mengurangkan penyebaran virus malah turut memberikan keselesaan yang maksima sepanjang memakainya di luar rumah.

Elakkan fabrik yang ketat seperti poliester dan anda tidak disarankan untuk menggunakan fabrik jenis plastik kerana pelitup muka perlu mempunyai aliran udara yang lancar. Jadinya, ia tidak mengganggu pernafasan anda ketika berada di bawah cuaca panas.

Cuba Pelitup Muka Sebelum Mula Membeli

Apa yang penting juga adalah anda perlu memilih pelitup muka yang tidak menimbulkan risiko kesihatan semasa panas.

Periksa dan cuba dahulu pelitup muka terutamanya jika anda baru sahaja membeli fabrik yang baharu. Sekiranya anda mendapati pelitup muka mengeluarkan haba sebelum anda keluar dari rumah, maka elakkan daripada memakainya di kawasan panas dan hanya gunakannya sekiranya berada di kawasan tertutup sahaja.

Tips untuk mencubanya, anda boleh menggunakan pelitup muka kain baharu untuk bersiar-siar di sekitar rumah selama 30 minit. Jika tidak boleh bernafas dengan mudah, maka keluarkan pelitup muka tersebut dari senarai. Seterusnya, jika anda berasa gatal atau panas sepanjang pemakaiannya, maka elak daripada menggunakannya pada tempoh yang panjang.

Bawa Sekurang-Kurangnya Satu Pelitup Muka Tambahan

Cara lain untuk memberikan keselesaan sepanjang penggunaan juga adalah dengan membawa dan memasukkan satu atau dua pelitup muka tambahan dalam beg yang kering dan bersih.

Rata-rata individu akan berpeluh dan mengeluarkan kotoran jika memakai pelitup muka terlalu lama di bawah matahari. Sekiranya memakainya terlalu lama, ia akan menyukarkan penafasan sekaligus memberikan ketidakselesaan sepanjang hari.

Selain itu, anda digalakkan untuk memilih pelitup muka berwarna cerah, kerana warna yang lebih gelap cenderung untuk mengekalkan haba. Apabila ia memerangkap haba, ia mungkin akan memburukkan lagi keadaan seseorang sehingga boleh mengakibatkan pitam dan sebagainya.

Diharapkan dengan perkongsian ini, ia membantu anda mengekalkan keselesaan pada tahap maksima selain membantu anda lebih produktif dalam melakukan aktiviti harian.

Komen